BTS Media

Semakin ramai warga emas cari kerja bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup

SEMAKIN ramai warga emas cuba memohon pekerjaan selepas bersara bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup dan jangka hayat lebih panjang.

Menurut pengarah urusan platform mencari kerja Jobstreet Vic Sithasanan, kini terdapat peningkatan 13% kadar permohonan pekerjaan daripada warga emas berumur 60 tahun ke atas antara bulan Januari 2023 dan akhir bulan Ogos 2024.

Beliau berkata ini disebabkan oleh faktor seperti peningkatan kos sara hidup dan jangka hayat lebih panjang, yang memerlukan kerjaya lebih lama untuk menyara diri.

“Kami melihat bilangan warga emas berumur 60 hingga 99 bertambah 2.6 kali ganda dari 2022 hingga 2023, dengan peningkatan 2.4 kali ganda pada suku pertama 2024 berbanding 2022.

“Warga emas bermotivasi untuk melanjutkan kerjaya bagi meningkatkan jaringan keselamatan kewangan mereka,” katanya dalam The Star.

Beliau menambah bahawa dengan jangka hayat lebih panjang, golongan tersebut berasa perlu mengekalkan sumber pendapatan mereka untuk tempoh yang lebih lama.

Sithasanan berkata, sekarang ini dianggarkan 1% daripada 3.9 juta warga emas sedang giat mencari pekerjaan.

Menurut beliau, apabila tenaga kerja semakin menua dan nilai pengalaman amat diperlukan untuk kerja-kerja tertentu, banyak syarikat kini mula mengambil warga emas demi meningkatkan produktiviti.

“Keadaan ini memerlukan perubahan tanggapan, dan keperluan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong dan menggalakkan pengambilan pekerja dari kalangan warga emas yang masih berupaya.

Beliau berkata banyak syarikat sedang melaksanakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula khusus untuk warga emas yang selari dengan perkembangan teknologi terkini dan trend industri.

“Dengan cara ini majikan akan menarik perhatian golongan berkenaan yang mencari cara untuk kekal relevan dan memanfaatkan pengalaman luas mereka bagi membimbing dan pekerja muda, memupuk budaya pemindahan pengetahuan dan kerjasama antara generasi.”

“Kementerian Sumber Manusia juga telah mengambil langkah untuk mengeluarkan garis panduan tempat kerja mesra umur untuk menangani keperluan khusus pekerja yang lebih tua, seperti peralatan ergonomik dan mudah diakses,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment