TANAH runtuh berhampiran Brinchang, Cameron Highlands berlaku di tanah yang diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1, kata sebuah pertubuhan bukan kerajaan alam sekitar.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) A. Dilip Martin dalam kenyataan di Facebook berkata projek pasar tani yang dimulakan pada Jun 2024 perlu diperiksa sama ada ia mematuhi peraturan.
Beliau berkata, tiada pembangunan, aktiviti pertanian atau pembalakan dibenarkan di kawasan Tahap 1, kecuali aktiviti pelancongan semula jadi, penyelidikan dan pendidikan berimpak rendah.
Dilip berkata kawasan itu diklasifikasikan sedemikian di bawah Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030.
“Adakah cadangan pembangunan Pasar Tani Kekal (PTK) yang terdiri daripada 42 lot perniagaan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Pahang (FAMA) mematuhi peraturan yang ditetapkan?
“Cerun melebihi 35°, dan kawasan itu dizonkan sebagai hutan. Bagaimana projek ini diluluskan?” soalnya.
Tanah runtuh yang berlaku di Brinchang semalam (Sabtu 21 Sept) kira-kira pukul 11 pagi, menyebabkan pokok dan tiang elektrik tumbang hingga menjejaskan aliran trafik di  sebahagian Jalan Besar selama empat jam.
Sebuah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan dihempap ​​tiang tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dilip turut mempersoalkan sama ada Majlis Daerah Cameron Highlands mengkaji secara menyeluruh semua aspek projek pasar tani itu.
“Syarat tapak itu jelas menyatakan bahawa tanah tersebut perlu digunakan untuk pejabat operasi dan kuarters kakitangan, bukan untuk ruang perniagaan.
Beliau berkata kawasan yang dibangunkan itu tidak mempunyai tebatan cerun sehingga mencetuskan tanah runtuh.
“Jabatan Alam Sekitar sepatutnya menyemak (projek) dan menolaknya kerana tidak mematuhi rancangan tempatan.
“Isu ini telah dibawa ke perhatian majlis daerah sebelum projek itu dimulakan pada bulan Jun tahun ini, namun mereka tidak ambil peduli, dan akhirnya, tanah runtuh berlaku,” tambahnya.
Dilip berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus menyiasat projek tersebut.
Beliau berkata berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan untuk menyediakan rancangan tempatan yang telah diwartakan oleh kerajaan Pahang, tetapi ia tidak dipatuhi.
Beliau turut menggesa kerajaan persekutuan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar supaya memberi kuasa kepada Jabatan Alam Sekitar negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya.
-BTS Media