PENDERITAAN dibebani hutang seorang buruh akhirnya berakhir apabila menemui seketul berlian putih besar.
Menurut CNN World, dia menemui berlian 19.22 karat bernilai hampir AS$100,000 ketika menggali di sebidang tanah di Madhya Pradesh, India.
Raju Gond, 40 tahun, biasanya akan memperoleh kira-kira AS$4 sehari bekerja di ladang atau lombong berlian, atau sebagai pemandu traktor untuk menyara keluarga besarnya.
Pada masa lain, dia dan adik lelakinya membayar AS$9.50 sehari untuk menggali emas di sebidang tanah kerajaan seluas 690 kaki persegi.
Gond berkata, usaha gigih mengorek di kawasan itu akhirnya membawa hasil tidak pernah diduga apabila menemui ketul berlian tersebut.
Gond dan adik lelakinya, Rakesh, kemudian membawa ibu mereka ke Pejabat Berlian Panna untuk menilai batu berlian tersebut, di mana pegawai bertugas, Anupam Singh mengesahkan ketulenan penemuan yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya AS$95,500 (RM441.974).
Daerah Panna, di mana berlian itu ditemukan kaya dengan rizab berlian.
“Pada tahun 1961, seorang penduduk yang mengorek tanah pernah menemukan berlian 54.55 karat, kemudian pada 2018, seorang lagi menemui berlian 42 karat,” kata Singh.
Dia berkata kerajaan memajakkan lombong cetek kepada mana-mana keluarga yang ingin mencari batu permata, di bawah pengawasan pegawai tempatan.
Menurutnya, bagi sebarang penemuan, kerajaan mengambil royalti 11.5 peratus dan mengenakan cukai kecil. Jumlah selebihnya diberikan kepada orang yang menemui batu permata itu.
Singh berkata pejabat berlian daerah akan menunggu nilai inventori sesuatu hasil penemuan melebihi AS$360,000 sebelum mengadakan lelongan, dan selepas itu Gond akan menerima pembayarannya.
“Sekarang ini, kami mempunyai berlian bernilai separuh daripada jumlah itu,” katanya.
Sementara itu, Gond berkata selepas musim tengkujuh melanda wilayah tersebut dua bulan lalu, dia bergelut untuk menampung kehidupan kerana kekurangan kerja. Ini membuatkan dia dan keluarganya terpaksa bekerja mencari berlian.
“Kami hanya perlu mengisi borang, kemukakan bukti pengenalan diri, memberikan gambar dan membayar 800 rupee (AS$9.50) kepada kerajaan.
Gond memberitahu CNN bahawa dia telah membuka akaun bank dan tidak sabar menunggu untuk wang itu dikreditkan. “Hidup kami telah berubah selama-lamanya,” katanya.
Selepas menerima bayaran dia berhasrat untuk membayar balik hutang AS$6,000, dan membiayai pendidikan semua anaknya, selain membeli rumah, tanah dan mungkin juga sebuah traktor.
-BTS Media