PELANCONGAN Melaka dilapor akan menarik balik semua buku panduan pelancong berikutan beberapa kesilapan yang terkandung di dalamnya.
Akhbar The Star memetik seorang pegawai kanan Pelancongan Melaka berkata bahawa semua buku panduan itu akan diaudit dan disemak fakta sebelum diedarkan semula.
“Kami mengakui terdapat kesilapan ketara dalam salah satu buku panduan kami dan telah mengambil tindakan segera untuk membetulkan kesilapan dan menghentikan pengedaran bahan berkaitan.
“Kami telah memuat naik permohonan maaf di Facebook atas kesilapan itu,” katanya pada Khamis (11 Julai).
Bagaimanapun, semakan terkini di Facebook mendapati catatan tersebut telah dipadamkan.
Pegawai itu berkata Pelancongan Melaka juga akan memanggil penerbit buku panduan tersebut untuk menjelaskan di mana mereka memperoleh fakta sejarah yang dicetak dalam bahan promosi berkenaan.
“Kami juga akan memanggil penerbit lain yang telah ditugaskan untuk dalam penyediaan dan mencetak fakta sejarah Melaka dan butiran berkaitan pelancongan,” katanya. Beliau berkata, penerbit buku panduan itu juga akan dikeluarkan surat tunjuk sebab.
“Kami memandang serius perkara itu,” tambahnya.
Pegawai itu memberikan respons terhadap banyak kesilapan sejarah yang dalam buku panduan yang baru-baru ini didedahkan oleh ahli sejarah Serge Jardin dalam catatan Facebook.
-BTS Media