ATAS: Rishi Sunak mengumumkan kealahan Parti Konservatif dalam keadaan basah kuyup di luar No. 10, Downing Street, London. GAMBAR: The Mirror.
Oleh Yusoff A. Shariff
PERDANA Menteri British berketurunan India, Rishi Sunak telah dikalahkan dalam pilihan raya kebangsaan United Kingdom pada hari Jumaat.
“Parti Buruh memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum ini, “kata Sunak.
Menurut stesen penyiaran ITV, Parti Buruh memenangi 326 kerusi parlimen dan ini bermakna parti tersebut menguasai majoriti dalam House of Commons yang mempunyai 650 kerusi.
Setakat waktu berita dilaporkan, Rishi Sunak masih perdana menteri sehingga beliau secara rasmi memaklumkan peletakan jawatan kepada King Charles III.
Rishi Sunak telah menelefon Sir Keir Starmer untuk mengucapkan tahniah kepadanya kerana memenangi pilihan raya umum yang bersejarah ini, dengan Party Konservatif (Tories) jelas berada di landasan kekalahan terburuk dalam sejarah.
Susulan itu, Sunak akan menaiki pesawat rasmi perdana menteri British untuk pulang dari kawasannya di Yorkshire awal pagi, dan perlu mengosongkan kediaman rasmi perdana Menteri British di No. 10 Downing Street, London bagi membolehkan Starmer berpindah masuk dan memulakan tugas segera.
Menurut akhbar The Independent, Sunak dan keluarganya akan memunggah barang peribadi untuk kembali ke rumah mereka di barat London.
Beliau akan dibawa ke Istana Buckingham untuk bertemu King Charles III dan secara rasmi menyerahkan peletakan jawatannya pada kira-kira pukul 9.30 pagi.
Ini disusuli ucapan ringkas dalam keadaan basah kuyup untuk menyatakan peletakan jawatan pada kira-kira pukul 10.40 pagi waktu British (BST) di luar Downing Street.
Sementara itu, Canselor British Jeremy Hunt juga perlu berpindah dari kediamannya di 11 Downing Street.
Perkembangan terbaharu ini juga bermakna Sunak pasti terpaksa mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua parti Konservatif, atau berdepan cabaran daripada barisan kepimpinan partinya.
Turut kecundang dalam pilihan raya ini beberapa ahli parlimen penyokong tegar Sunak dalam parti Konservatif.
-BTS Media
1 comment
Lets hope the new UK PN will help to stop genocide in Pslestine