BTS Media

Speaker digesa kosong 6 kerusi Bersatu, kerajaan Madani tak perlu sokong ahli parlimen khianat parti sendiri – Hassan

PEMIMPIN PKR Hassan Karim menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul mengumumkan pengosongan kerusi parlimen enam ahli parlimen Bersatu yang telah hilang keahlian dalam partinya kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata bahawa keputusan itu adalah bagi menghormati perlembagaan parti-parti politik yang mendaftar secara sah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Saya saran speaker (Johari) kosongkan enam kerusi parlimen ahli parlimen Bersatu. Perkara itu bertepatan dengan notis pengosongan dihantar oleh ketua whip Bersatu Ronald Kiandee semalam, susulan keahlian enam ahli parlimen itu terhenti serta-merta.

“Saya percaya yang wajarnya ialah kerusi enam ahli parlimen ini perlu dikosongkan atas alasan speaker perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda di bawah Akta antilompat parti,” katanya, lapor Malaysiakini.

Hassan berkata kegagalan speaker berbuat demikian akan memberi gambaran tidak baik bahawa speaker juga tidak menghormati bukan sahaja pindaan perlembagaan parti Bersatu, malah juga parti DAP, Amanah dan Umno yang turut membuat pindaan untuk memastikan tiada wakil rakyat masing-masing mengalih sokongan ke parti lain.

“Johari harus membuat keputusan berlandaskan perlembagaan dan menghormati perlembagaan Bersatu,” katanya.

Bersatu sebelum ini memberikan notis kepada speaker memohon supaya enam kerusi parlimen dipegang oleh wakil rakyatnya dikosongkan.

Dalam satu kenyataan media, Ronald yang juga naib presiden Bersatu berkata keahlian parti keenam-enam mereka yang sebelum ini menyokong Anwar telah terhenti secara serta-merta.

“Justeru, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima,” kata Ronald.

Hassan berkata dia percaya kerajaan tidak akan campur tangan dalam hal ehwal mahkamah sekiranya perkara ini dibawa ke mahkamah.

“Saya minta seperti janji perdana menteri (Anwar Ibrahim) bahawa kerajaan dia tak campur tangan dalam hal ehwal mahkamah.

“Maka, saya pun percaya perdana menteri dan kerajaan tak akan campur tangan dalam hal ehwal mahkamah,” katanya.

“Kerajaan Perpaduan Madani tak mahu sokongan ahli parlimen yang mengkhianati parti sendiri.

“Enam orang ini bukan mengkhianati PN sahaja, mereka mengkhianati pengundi di enam kawasan parlimen,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment