Oleh Yusoff A. Shariff
DUA ahli Parlimen (MP) Bersatu bersedia melepaskan kerusi mereka untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika pindaan kepada perlembagaan parti memerlukan mereka berbuat demikian.
“Bagi pihak saya, saya telah berjanji untuk memberikan sokongan selepas memikirkannya hampir setahun. Walaupun berada di pihak Pembangkang, kita tidak dapat memperoleh apa-apa (untuk rakyat) jadi saya bersedia (untuk melepaskan kerusi) daripada menarik balik sokongan saya kepada Perdana Menteri.”
“Saya bersedia mengembalikannya (kerusi) itu kepada rakyat dan biarkan mereka membuat keputusan,” kata Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ketika ditanya sama ada pindaan kepada perlembagaan parti akan menjejaskan mereka secara retrospektif.
Kedua-dua Syed Abu Hussin dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berkata bahawa ini adalah realiti yang harus dihadapi oleh ahli parlimen dari Bersatu yang berikrar untuk memberikan sokongan mereka kepada kerajaan.
“Kami menyokong Perdana Menteri atas kehendak kami sendiri, dan kami bersedia menghadapi sebarang akibat termasuk mengosongkan kerusi kami,” katanya dalam sidang media di bilik media Parlimen pada Khamis (29 Feb).
Pada 14 Februari, akhbar The Star melaporkan bahawa Bersatu dijadualkan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 2 Mac, bagi mengelakkan lebih ramai ahli keluar dari gabungan itu dengan meminda perlembagaan parti, dan seterusnya  secara automatik menggugurkan ahli-ahli yang melanggar prinsip party.
Syed Abu Hussin dan Mohd Azizi adalah antara enam ahli parlimen Bersatu yang memilih untuk menyokong Perdana Menteri sejak akhir tahun lalu.
Yang lain ialah Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu Dr Zulkafperi Hanapi, Ahli Parlimen Tanjong Karang yang berjanji untuk memberikan sokongan pada 24 Januari.
Pada 8 Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said mendakwa bahawa tindakan Ahli Parlimen pembangkang menyokong Perdana Menteri tidak melanggar undang-undang Anti-Lompat Parti kerana mereka tidak meletakkan jawatan dari parti politik berkenaan.
Dalam perkembangan yang sama, Syed Abu Hussin berkata bahawa beliau tidak menerima bayaran untuk pelantikannya sebagai ketua pasukan petugas di bawah Majlis Tindakan Kebangsaan mengenai Kos Hidup (Naccol).
“Kami tidak menerima sebarang gaji atau ganjaran, kami memberikan sokongan secara sukarela dan saya diberi tugas dengan kedudukan ini oleh Perdana Menteri sendiri,” tambahnya.
Pada 28 Jan, Anwar melantik Syed Abu Hussin untuk memimpin jawatankuasa itu di bawah Naccol dan memberikannya tugas untuk menyelaraskan usaha-usaha bagi menangani isu kenaikan harga makanan dan kos sara hidup.
Syed Abu Hussin ialah Ahli Parlimen Pembangkang pertama memegang jawatan sedemikian selepas enam Ahli Parlimen lain turut berjanji menyokong Anwar.
-BTS Media