POLIS dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengenal pasti pemandu e-hailing yang didakwa menghina Islam semasa perbualan dengan penumpangnya.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis melancarkan siasatan selepas laporan tentang video tular itu dibuat di Johor Bahru semalam.
“Siasatan mendapati video itu dimuat naik kira-kira pukul 7 malam semalam.
“Semakan akan dibuat dengan SKMM untuk mendapatkan butiran pemilik akaun (yang menerbitkan video) dan mengenal pasti pemandu e-hailing,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
Dalam video sepanjang 90 saat itu, pemandu tersebut kelihatan memberitahu penumpangnya, yang merupakan seorang pelancong, kononnya umat Islam di Malaysia mengenakan peraturan Islam, seperti mengharamkan arak dan judi.
Pemuda PAS Selangor juga telah membuat laporan polis berhubung video itu, kerana kenyataan yang dibuat oleh lelaki itu boleh mengganggu keharmonian masyarakat Malaysia.
-BTS Media