BTS Media

Orang Melayu sekarang lihat Perikatan Nasional sebagai parti barisan hadapan baharu

PENGANALISIS berbeza pendapat mengenai gesaan oleh veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah agar orang Melayu, termasuk ahli Bersatu dan PAS, bersatu semula di bawah panji UMNO.

Mereka berkata menganggap gesaan itu sebagai “usaha yang sukar”.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berkata orang Melayu, khususnya bekas ahli UMNO kini telah membiasakan diri dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai pelopor baharu perjuangan mereka.

“Jika penghijrahan ini (ahli UMNO ke PN) tidak ditangani dengan baik, saya khuatir UMNO akan kehilangan relevannya untuk jangka masa yang lama,” katanya kepada FMT.

Ariff mengulas temu bual eksklusif Tengku Razaleigh dengan akhbar dalam talian itu, di mana beliau berkata bahawa keretakan dalam kalangan orang Melayu dan penubuhan parti baharu telah melemahkan pengaruh politik masyarakat.

Tengku Razaleigh berkata Bersatu dan PAS hanya mendapat sokongan besar orang Melayu hari ini kerana tidak berpuas hati dengan ketidakupayaan UMNO untuk berpegang kepada prinsipnya.

Menurut Ariff, komen Tengku Razaleigh diperkuatkan apabila ramai tokoh penting dalam UMNO meninggalkan parti itu dan bertanding atas tiket pembangkang, sebahagian besarnya kerana menolak kepimpinan pemimpin tertinggi UMNO, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

“Penyokong akar umbi sudah mula beralih arah dan memilih PN, yang memperjuangkan isu yang sama, iaitu Melayu dan Islam,” katanya.

Bagaimanapun, Azmi Hassan, seorang felo di Majlis Profesor Negara, berkata pelawaan UMNO kepada ahli-ahli yang sebelum ini dipecat daripada parti itu untuk menyertai semula barisannya akan memberi isyarat kepada akar umbi bahawa ia bersedia untuk kembali kepada kekuatan dahulu.

Tetapi, beliau berkata ia memerlukan pemimpin yang telah lama memegang tampuk jawatan supaya berundur dan memberi laluan kepada yang lebih baharu seperti Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, yang mempunyai pengikut sendiri.

Azmi berkata para veteran UMNO boleh kekal sebagai penasihat, mencontohi Tengku Razaleigh yang selama ini menjadi pengkritik dan penjana idea untuk kepimpinan parti.

“Jika ahli politik yang lebih tua dipanggil semula, biarlah mereka menjadi seperti Ku Li, memberi nasihat dari belakang tabir dan tidak lagi aktif memegang jawatan.

“Ini penting kerana isu UMNO ialah hilang kepercayaan dan keyakinan orang Melayu terhadap kepimpinan parti.

-BTS Media

Leave a Comment