BTS Media

Larangan membuat kenyataan terhadap ahli politik keterlaluan – Zaid Ibrahim

BEKAS menteri undang-undang Zaid Ibrahim hari ini menggesa badan kehakiman supaya berhati-hati dalam mengeluarkan perintah larangan mengeluarkan kenyataan dalam kes berkaitan politik, dengan mengatakan bahawa langkah sedemikian adalah keterlaluan (overkill).

Ini berlaku selepas Mahkamah Tinggi di Johor Bahru dan Kuala Lumpur melarang Chegubard dari parti BERSATU dan penulis blog pro-pembangkang Papagomo membuat sebarang kenyataan berkaitan pertuduhan menghasut yang mereka hadapi.

Dalam satu kenyataan, Zaid berkata badan kehakiman adalah harapan terakhir rakyat untuk membela diri terhadap “serangan ke atas kebebasan asas” dan ia tidak sepatutnya mengeluarkan perintah tersebut kerana dimohon oleh pihak pendakwaan.

“Kita semua tahu hubungan rapat antara Pejabat Pendakwa Raya dan Pejabat Perdana Menteri (PMO). Kita tidak naif. Kita mempunyai cukup contoh untuk membuktikannya.

Beliau berkata, hanya badan kehakiman yang terpisah dan bebas daripada PMO. Badan kehakiman adalah harapan terakhir rakyat menangkis serangan terhadap kebebasan asasi.

“Kekalkan kebebasan itu dengan mengatakan tidak kepada permohonan untuk perintah tersebut.

“Kebebasan bersuara patut dilindungi jika kita mahukan negara yang agak bebas. Politik boleh menembusi cabang kerajaan lain jika kita tidak berjaga-jaga dan berusaha secara sedar untuk melindungi diri,” kata Zaid dalam kenyataan yang disiarkan di X.

Seterusnya, Zahid yang merupakan bekas ahli UMNO berkata mahkamah tidak perlu menggunakan perintah itu untuk menguatkuasakan peraturan sub judice. Sebaliknya, beliau berkata, badan kehakiman boleh mengekalkan integritinya dengan menggunakan kuasa penghinaannya (mahkamah) apabila diperlukan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenakan perintah larangan tersebut terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo), untuk menghalangnya daripada mengeluarkan sebarang komen berkaitan kes hasutan yang dihadapi.

Papagomo didakwa di bawah Akta Hasutan atas dakwaan post berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di akaun X bulan lepas.

Seminggu sebelum itu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengenakan perintah serupa terhadap ahli jawatankuasa biro penerangan BERSATU Badrul Hisham Shaharin, atau dikenali sebagai Chegubard. Dia juga didakwa di bawah Akta Hasutan atas dakwaan kenyataan berbaur hasutan yang dikaitkan dengan projek kasino di Forest City, Johor.

-BTS Media

Leave a Comment