BEKAS menteri undang-undang Mohd Zaid Ibrahim menggesa perdana menteri membebaskan Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana mencuri RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau menganggap jumlah RM42 juta “hanya jumlah kecil” dan mendakwa tiada siapa akan menyalahkan Anwar Ibrahim jika Najib diampunkan, lapor NST.
Dalam tweet terbaharunya, Zaid berkata Anwar tidak perlu bimbang untuk memaafkan Najib kerana Najib kononnya diperlukan untuk membantu UMNO memenangi pilihan raya negeri akan datang.
“Biarkan dia bebas. Pilihan raya akan datang ini, Madani perlu menang; anda perlu menjadi PM untuk beberapa tahun lagi.
Beliau berkata, “UMNO lemah…hanya Najib yang akan membantu anda menang. Sudah tentu dia bersalah, tetapi RM42 juta adalah jumlah kecil.”
Menurut Zaid, lagi pun mulai sekarang rasuah adalah perkara yang sudah berlalu, dan di bawah kepimpinan Anwar yang dikatakan tegas dan bersih tiada siapa pun boleh berkata beliau lembut menangani rasuah dengan cara mengampuninya (Najib).
Setakat pukul 3.00 petang (14 Jun) tweet tersebut telah mendapat lebih 128, 000 tontonan, dan pelbagai reaksi. Antaranya mempersoalkan logik Zaid di sebalik apa yang dikatakannya itu.
Antara komen menarik termasuk daripada @Amer Al-Jeffrey, yang berkata “Isap apa ni woi” dan seorang lagi daripada @Artemis.P yang menulis: “orang curi tin sardin pun kena penjara.”
Najib, 70, dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM42 juta dana SRC.
Dia juga disabitkan bersalah menyalahgunakan kuasanya berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) RM4 bilion yang diluluskan oleh Kabinet melalui jaminan kerajaan dalam dua mesyuarat yang dipengerusikannya pada Ogos 2011 dan Mac 2012.
Mahkamah Rayuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman itu pada 8 Dis 2021, dan ini disahkan lagi oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos.
Pendapat Zaid juga disiarkan melalui video di Facebook.
-BTS Media