Oleh Yusoff A. Shariff
MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya menolak permohonan Najib Razak untuk kebenaran menyemak semula kes SRC International dengan keputusan majoriti 4-1.
Dalam keputusan majoriti dibaca oleh Hakim Vernon Ong Lam Kiat, panel itu mendapati tiada berat sebelah atau pelanggaran keadilan semula jadi (natural justice).
Beliau menyifatkan bahawa Najib yang merencanakan nasib malangnya sendiri.
“Permohonan semakan harus, dan dengan ini, ditolak,” kata hakim pada Jumaat (31 Mac).
Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Hakim Abdul Rahman Sebli, yang merupakan pengerusi panel lima hakim, memberikan penghakiman berbeza.
Hakim-hakim lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan Hakim Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan hakim Mahkamah Rayuan Hakim Abu Bakar Jais.
Selepas mendengar hujahan panjang lebar oleh pihak pembelaan dan pihak pendakwaan selama enam hari pada Januari dan Februari mengenai sama ada bekas perdana menteri itu patut atau tidak patut diberi kebenaran untuk mendapatkan semakan, ketua panel Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli berkata keputusan mahkamah akan dibuat “selewat-lewatnya 31 Mac”.
Sekiranya kebenaran diberikan, Mahkamah Persekutuan akan menetapkan tarikh permohonan semakan Najib didengar atas merit penuhnya.
Jika tidak dibenarkan, Najib kekal meneruskan hukuman penjara.
Najib memohon kebenaran untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC International RM42 juta.
Salah satu perkara yang dibangkitkan oleh Najib ialah “kegagalan asas perbicaraan adil”, yang peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata berikutan tindakan panel Mahkamah Persekutuan terdahulu “memaksa” peranan peguam Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama pada perbicaraan rayuan akhir diteruskan.
Ini berlaku walaupun Hisyam mahu melepaskan diri sebagai peguam utama kerana kekangan masa.
Semasa rayuan terakhir bulan Ogos lalu, Hisyam telah memohon penangguhan prosiding selama tiga hingga empat bulan kerana beliau baharu mengambil alih tugas.
Bagaimanapun, panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat tegas tidak membenarkan beliau berbuat demikian.
Sementara itu, ketua pendakwa raya Datuk V. Sithambaram memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa Najib bersekongkol dengan peguam baharunya dalam memohon penangguhan semasa rayuan terakhir walaupun mengetahui bahawa tarikh perbicaraan telah ditetapkan empat bulan sebelum itu.
Beliau berkata Najib telah mengambil peguam baharu dengan harapan untuk menangguhkan pendengaran rayuan, dan dengan itu mahkamah berhak menolak penangguhan yang diminta.
Tiada berlaku pelanggaran keadilan semula jadi (natural justice) dengan penolakan ini, kata Sithambaram, kerana masalah yang “dicipta sendiri”.
Pada 6 Sept tahun lepas, Najib memohon kebenaran untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan berdasarkan dakwaan bahawa “berlaku ketidakadilan” dalam kesnya.
-BTS Media