Oleh Yusoff A. Shariff
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali pada hari Sabtu berkata kelayakan akademik calon gabungan itu untuk pilihan raya kecil Kuala Kubu Baru telah diteliti rapi, dan beliau menolak dakwaan bahawa ia dipalsukan.
Rekod pendidikan Khairul Azhari Saut telah menjadi modal pihak lawan menjelang pilihan raya pada 11 Mei.
Penganalisis politik meramalkan PRK itu menyaksikan cabaran serius PN terhadap kerajaan perdana menteri Anwar Ibrahim.
“Buktinya (kelayakan akademik) ada. Dia tidak salah nyatakan dirinya dan tidak mendakwa memperoleh ijazah sarjana daripada mana-mana kursus tertentu,” kata Azmin dipetik New Sunday Times selepas ceramah PN di Hulu Selangor malam tadi.
“Dia mengesahkan telah menjalani kursus eksekutif intensif, yang ditawarkan oleh banyak universiti. Saya rasa itu adalah perkara yang baik kerana kami sentiasa menggalakkan pembelajaran berterusan, walaupun bagi mereka yang tidak berpeluang mendapatkan pendidikan universiti pada mulanya.
“Tetapi mengambil kursus eksekutif dan intensif adalah amalan biasa di semua universiti,” katanya.
Khairul, yang merupakan ketua bahagian Bersatu Hulu Selangor, menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai “ujian” pihak lawan.
“Hari ini, saya secara peribadi diserang berhubung kelayakan akademik saya. Saya tidak kisah kerana saya tidak menipu dan sijil yang saya kemukakan bukan dari Sri Lanka atau Vietnam. Sijil yang saya peroleh ialah dari Malaysia sendiri, dari Universiti Malaysia Pahang, mereka boleh hubungi universiti itu untuk pengesahan (ijazah sarjana),” katanya.
“Apa yang dihadapi sekarang hanyalah ujian untuk saya, jadi kita tidak boleh salahkan mereka kerana menguji saya sebelum pilihan raya ini…akan ada pelbagai halangan.”
-BTS Media