BTS Media

Keahlian 7 wakil rakyat Bersatu gugur, tak perlu tunggu surat

KEAHLIAN enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu yang berpaling tadah kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian masing-masing tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.

Katanya, kelulusan pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti pada 2 Mac lalu sudah memadai.

“Parti hanya akan menghantar surat pemakluman berserta notis kelulusan pindaan Perlembagaan parti seperti diluluskan ROS.

“Enam Ahli Parlimen dan Adun digesa tidak menunggu surat daripada Bersatu, sebaliknya jika anak jantan (gentleman), lepaskan jawatan dan umum kosongkan kerusi,” katanya menurut Berita Harian.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi itu berkata demikian bagi mengulas enam Ahli Parlimen terbabit yang mengesahkan belum menerima apa-apa notis daripada parti itu selepas mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaporkan berkata, beliau masih belum menerima apa-apa notis daripada Bersatu.

Selain beliau, lima lagi Ahli Parlimen yang menyokong Anwar ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, bulan lalu.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/04/12/keahlian-7-wakil-rakyat-bersatu-tergugur-tak-perlu-tunggu-surat/

Leave a Comment