BTS Media

PAS tidak akan sertai boikot KK Super Mart

Oleh Yusoff A. Shariff

PAS tidak akan mengambil bahagian dalam gerakan memboikot kedai serbaneka KK Super Mart berikutan isu stokin baru-baru ini.

Ketua sayap ulamanya Ahmad Yahya menegaskan parti itu bagaimanapun tidak menyokong sebarang bentuk penghinaan terhadap Islam.

Beliau berkata, isu memboikot KK Super Mart tidak boleh disamakan dengan gerakan menolak entiti perniagaan milik Israel.

“Isu boikot produk Israel adalah kerana ia berkaitan secara langsung dengan (perang Israel-Hamas) tetapi dalam isu KK Super Mart tidak ada kaitan langsung.

“PAS tidak mengambil pendekatan untuk memboikot mereka.

“Jika dilihat pada ucapan atau komen daripada pemimpin PAS, tiada pemimpin kita yang meminta untuk memboikot KK Super Mart.

“Pimpinan kita cuma mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Saya yakin jika tindakan diambil isu ini akan reda,” katanya menurut Sinar Harian pada hari Sabtu (30 Mac).

Rangkaian kedai serbaneka itu baru-baru ini mendapat kecaman selepas stokin bercetak perkataan “Allah” ditemukan di cawangannya di Bandar Sunway, Selangor.

Syarikat itu sejak itu telah mengeluarkan permohonan maaf tetapi gesaan untuk memboikot terus berterusan.

Pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan KK Mart, Chai Kee Kan dan isterinya, selaku pengarah syarikat, didakwa pada Selasa (26 Mac) mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana sengaja mencederakan sensitiviti agama umat Islam berhubungan kejadian itu.

Turut didakwa ialah Syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, berpangkalan di Batu Pahat, Johor  yang membekalkan stokin kepada KK Super Mart – serta pengarahnya Soh Chin Huat, Goh Li Huay dan Soh Hui San.

-BTS Media

Leave a Comment