BTS Media

Kedutaan Israel Singapura diminta padam post Facebook yang cuba ubah sejarah Palestin

GAMBAR: Kedutaan Israel di Singapura / Mothership SG.

PIHAK berkuasa Singapura meminta kedutaan Israel di negara itu supaya memadamkan  catatan di Facebook semalam  yang menurut Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam “percubaan mengejutkan untuk menulis semula sejarah”.

Beliau berkata post itu “tidak sensitif”, “tidak sesuai” dan “tidak boleh diterima sama sekali” kerana ia berisiko menjejaskan keselamatan, dan keharmonian di Singapura.

“Saya sangat kecewa apabila saya diberitahu mengenainya,” katanya kepada pemberita pada hari Isnin.

“Kementerian Dalam Negeri (MHA) telah memaklumkan Kementerian Luar Negeri (MFA) semalam bahawa kedutaan Israel perlu memadamkan post tersebut dengan segera.

Pihak kedutaan Israel telah memadamkan post berkenaan.

Catatan yang kini dipadamkan di Facebook kedutaan Israel di Singapura menyatakan bahawa: “Israel disebut sebanyak 43 kali dalam al-Quran. Sebaliknya, Palestin tidak disebut langsung.”

Post itu seterusnya mendakwa bahawa bukti arkeologi seperti peta, dokumen dan syiling menunjukkan bahawa orang Yahudi ialah penduduk asli Israel.

“Post itu ialah percubaan yang licik untuk menulis semula sejarah,” kata Shanmugam.

“Penulis post itu perlu merujuk kepada resolusi PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), dan melihat sama ada tindakan Israel dalam beberapa dekad yang lalu konsisten dengan undang-undang antarabangsa sebelum cuba menulis semula sejarah.”

Menurut Shamugam, post tersebut “salah di banyak peringkat”, dan boleh mencetuskan ketegangan disebabkan kerana kemarahan yang membahayakan masyarakat Yahudi di Singapura.

Beliau berkata walaupun biasanya MHA tidak campur tangan dalam sebarang kenyataan ‘online’ yang dibuat oleh kedutaan di Singapura, kerana menghormati kedaulatan mereka, namun kali ini pihak MHA telah meminta kedutaan Israel supaya memadamkan post itu.

Singapura berbuat demikian selepas perbincangan dengan MFA kerana terdapat “risiko berbahaya” bagi masyarakat di Singapura.

Beliau menambah bahawa post itu “secara terpilih menggunakan teks agama” untuk tujuan politik dan “lebih teruk lagi” ia menggunakan al-Quran untuk tujuan berkenaan.

“Selalunya kedutaan mengeluarkan kenyataan yang mungkin kita tidak bersetuju, tetapi kita secara amnya tidak campur tangan kerana mereka mewakili negara berdaulat, mereka mempunyai autonomi, tetapi apabila ia menjejaskan keselamatan dan keselamatan penduduk Singapura, kami akan campur tangan,” katanya.

Akhbar TODAY telah menghubungi kedutaan Israel di Singapura untuk mendapatkan komen.

Secara berasingan, Menteri Pembangunan Sosial, Keluarga dan Menteri bagi Hal Ehwal Islam Masagos Zulkifli berkata melalui Facebook bahawa beliau juga “sangat kecewa” “Tiada sesiapa pun harus membuat tafsiran yang menyinggung kepercayaan orang lain, terutamanya secara terpilih menggunakan teks suci mereka, untuk perkara politik,” kata Masagos.

“Sama ada seseorang itu warga Singapura atau orang asing di Singapura, kita tidak boleh melakukan atau berkata apa-apa yang mengganggu keharmonian sosial di Singapura. Mesej tidak sensitif dan tidak sesuai seperti itu boleh menyebabkan perselisihan, dan menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Singapura,” tambahnya.

Terdahulu pada hari Isnin, Menteri Hal Ehwal Luar Vivian Balakrishnan pula berkata: “Adalah sangat tidak wajar untuk merujuk kepada teks suci untuk perkara politik. Kami telah menjelaskan perkara ini kepada kedutaan itu, dan mereka sudah pun memadam post tersebut.”

Bercakap bercakap semasa perjalanan pulang dari Timur Tengah, di mana beliau turut berkunjung ke Israel dan Palestin. Beliau diiringi oleh delegasi Singapura, termasuk lima Ahli Parlimen, iaitu Alex Yam, Nadia Ahmad Samdin, Rachel Ong, Zhulkarnain Abdul Rahim dan Gerald Giam dari Workers’ Party.

Semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Israel, Dr Balakrishnan memberitahu bahawa tindak balas ketenteraan negara itu adalah “keterlaluan”, kata MFA dalam satu kenyataan pada 20 Mac.

Beliau menambah bahawa harapannya adalah supaya dilaksanakan “gencatan senjata kemanusiaan segera” bagi membolehkan bantuan disalurkan ke Gaza, dan untuk membebaskan tebusan.

-BTS Media

Leave a Comment