BTS Media

Belanja RM129 juta program ramal banjir tak berbaloi, kata PAC

GAMBAR: Wikimedia Commons.

 

SEBANYAK RM129 juta yang dibelanjakan bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 1 tidak berbaloi kerana ia tidak dapat meramal aras air banjir serta masa dan lokasi banjir dengan tepat, menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya mendapati demikian selepas mengadakan prosiding pada 16 Jan lepas bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Beliau berkata, kelemahan dalam pengurusan projek itu menyebabkan kelewatan kerja di Lembangan Sungai Kelantan dan Terengganu selama 1,829 hari, dan di Lembangan Sungai Pahang selama 1,836 hari

“Pencapaian ketepatan HIT (sasaran impak tinggi) yang rendah, iaitu 5.6%, tidak mencapai sasaran sebagaimana dikehendaki di dalam PRAB yang memakan belanja RM129 juta,” katanya dalam kenyataan.

PAC turut mengemukan enam syor, antaranya memastikan baki 79 stesen daripada 118 stesen melaksanakan penukaran “Remote Terminal Unit” (RTU) dengan kadar segera agar PRAB dapat berfungsi dengan sempurna.

“Petra dan JPS perlu memastikan segala kontrak yang dirangka mengambil kira perkembangan teknologi dan kesan jika berlaku kelewatan pelaksanaan ke atas projek,” katanya.

“JPS perlu memastikan penyenggaraan pencegahan dilaksanakan mengikut jadual, dan kontraktor dipilih layak serta kompeten untuk melaksanakan penyenggaraan PRAB selain memastikan segala peralatan di stesen dilindungi dengan sewajarnya.”

Selain itu, PAC turut menyarankan Petra dan JPS memastikan PRAB Fasa 2 dan 3 disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang ditetapkan.

Ini termasuk memastikan program bagi Fasa 2 dan 3 yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak menggunakan teknologi yang berkesan, katanya.

Jawatankuasa itu memberikan tempoh dua bulan kepada Petra dan JPS sebelum memanggil mereka semula bagi prosiding tindakan susulan untuk menyemak tindakan yang telah diambil terhadap syor-syor yang dikemukakan.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/20/belanja-rm129-juta-program-ramal-banjir-tak-berbaloi-kata-pac/

Leave a Comment