TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik usul untuk menggantung Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) selama enam bulan kerana mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.
Zahid menarik balik usul itu selepas Speaker Johari Abdul memberi peluang kepada Wan Saiful memberi penjelasan dalam ucapannya minggu lalu.
Wan Saiful berkata ayat itu sememangnya ditujukan kepada Anwar, namun beliau telah memohon maaf pada keesokannya, yang turut mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dalam ucapannya pada 28 Feb lalu.
“Ayat itu memang saya tujukan kepada YAB Tambun (Anwar), dan saya menarik balik ayat tersebut dan memohon maaf atas kenyataan itu dan saya dengan rendah diri juga sebab dalam usul ada sebut mengenai Yang di-Pertuan Agong, jadi atas kekhilafan itu saya juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.
“Saya mohon dipertimbangkan permohonan maaf ini,” kata Wan Saiful di Dewan Rakyat sebelum usul dibacakan Zahid.
“Yang Dipertua, saya mohon tarik balik usul nombor satu dalam aturan mesyuarat pada hari ini,” kata Zahid selepas Johari meminta beliau mempertimbangkan permohonan maaf wakil rakyat Bersatu itu.
Semasa perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja pada 28 Feb, pemimpin Bersatu itu mengeluarkan kenyataan: “Korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa. Ampun Tuanku, orang itu yang menyalahgunakan kuasa itu akan menghadap Tuanku setiap minggu sebelum mesyuarat Kabinet.”
Sementara itu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menghargai peranan Johari menyelesaikan isu itu dengan sebaik mungkin.
“Saya rasa rakyat nampak Ahli Parlimen ini adalah mereka yang bertanggungjawab demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Johari kemudian meminta wakil rakyat blok kerajaan dan pembangkang berganjak daripada isu berkenaan dan terus mengutamakan masalah rakyat dalam perbahasan.
“Saya minta semua ‘move on’ daripada perkara ini dan terus utamakan isu rakyat yang mendesak.”