Oleh Yusoff A. Shariff
DUA peguam Tun Daim Zainuddin mempersoalkan mengapa anak guam mereka itu digambarkan seoleh-olah bersalah, walhal mahkamah belum pun memutuskan apa-apa.
Peguamcara Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh mendakwa bahawa kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Khamis (29 Feb) mengenai tindakan baru-baru ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) “terhadap salah seorang tokoh utama yang dianggap sebagai antara yang paling kaya” merujuk kepada kes mahkamah Daim yang sedang berjalan.
Mereka berkata banyak saluran berita telah mengaitkan kenyataan Perdana Menteri itu dengan anak guam kami… (ia) juga bukan kali pertama Anwar menyelar Daim dalam forum awam sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Menurut mereka lagi, Anwar hingga mengkritik pihak Pembangkang dengan persoalan kenapa kononnya mereka berdiam diri mengenai siasatan yang dikatakan sedang berjalan.
“Kenapakah beliau perlu menyeru Pembangkang dan pihak lain supaya menyokong tindakan SPRM?” Kata mereka dalam satu kenyataan pada hari Jumaat (1 Mac).
“Berhenti membuat ulasan sebegitu berhubung proses mahkamah dan penyiasatan yang sedang dijalankan terhadap Daim.
“Di bawah sistem keadilan jenayah kita, setiap orang berhak mendapat proses undang-undang yang adil dan tidak berat sebelah, bebas daripada sebarang campur tangan,” tambah mereka.
Dalam ucapannya pada pelancaran Sidang Kemuncak Anti Rasuah Kebangsaan di Kuala Lumpur pada hari Khamis, Anwar berkata: “Baru-baru ini, terdapat tindakan diambil oleh SPRM terhadap salah seorang tokoh utama yang dianggap antara paling kaya.
“Tetapi tidak ada suara yang menyokong tindakan itu dalam kalangan Pembangkang.”
Daim, 85, didakwa pada 29 Jan kerana dikatakan gagal mengisytiharkan hartanya kepada SPRM.
Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan.
-BTS Media