EMPAT majikan didenda sejumlah RM46,500 selepas didapati melanggar undang-undang buruh negara.
Menurut Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sebuah syarikat dalam sektor hospitaliti didenda RM12,000 kerana melanggar Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955 berkenaan kesalahan pembayaran gaji lewat kepada pekerja di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada 8 Februari.
Di mahkamah yang sama, sebuah syarikat dalam sektor keselamatan atau perkhidmatan keselamatan juga didenda RM12,000 kerana melanggar Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), iaitu, gagal mematuhi pembayaran gaji minimum sebanyak RM1,500.
Pada 19 Februari, sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan pembersihan didenda RM2,500 atas kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta 732 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Sebuah syarikat dalam sektor perlombongan dan kuari didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana melanggar Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Pekerjaan dan Kemudahan Perumahan 1990 (Akta 446) pada 22 Feb.
“JTKSM akan terus mengintensifkan penguatkuasaan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau syarikat yang didapati melanggar peruntukan undang-undang buruh negara,” menurut kenyataan itu.
– Bernama