Oleh Yusoff A. Shariff
SEORANG individu didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Klang semalam kerana merokok di sebuah kedai makan di Pelabuhan Klang, Selangor.
Timbalan Pengarah (kesihatan awam) Jabatan Kesihatan Selangor Dr Wan Noraini Wan Mohamed Noor dalam satu kenyataan berkata mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara empat bulan sekiranya pesalah gagal membayar denda.
Beliau berkata kedua-dua pesalah yang tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah dan berkata mereka menyesali perbuatan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.
Mereka didapati bersalah kerana tidak mematuhi Peraturan 11(1) (d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, di mana seseorang tidak dibenarkan merokok di premis restoran atau kedai berhawa dingin.
Menurut butiran kes, pada 24 Oktober lalu, sekitar pukul 4.05 petang, sepasukan anggota Pejabat Kesihatan Pelabuhan Klang telah menjalankan operasi penguatkuasaan di sebuah restoran di Lorong Cungah, Pelabuhan Klang, Selangor.
“Ketika pihak berkuasa mengeluarkan notis kesalahan, pesalah yang tidak berpuas hati mula membuat memprovokasi terhadap mereka, manakala rakannya yang berada di tempat kejadian mengugut dan mencederakan pegawai bertugas,” katanya.
Dr Wan Noraini berkata, satu laporan polis dibuat terhadap rakan pesalah itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan kira-kira pukul 4.39 petang hari yang sama.
“Polis kemudian menahan rakan pesalah itu, dan menghadapkan mereka ke Mahkamah Majistret Klang pada 27 Oktober. Mereka disabitkan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam supaya tidak menjalankan tugasnya,” katanya.
Dr Wan Noraini berkata mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas rakan pesalah dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Beliau juga berkata Jabatan Kesihatan Selangor telah meningkatkan operasi penguatkuasaan di bawah PPKHT 2004 berikutan aduan orang ramai bahawa masih terdapat perokok tidak mempedulikan larangan, terutama di kedai makan.
“Kami menggesa kerjasama semua pihak supaya mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin,” katanya.
Dr Wan Noraini juga berkata orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai sesiapa yang merokok di tempat larang merokok membuat laporan melalui WhatsApp di talian 6010-8608949.
-BTS Media