BTS Media

Bersatu cabar ahli parlimen dilantik Anwar sebagai imbuhan sokongan supaya keluar parti

PARA pemimpin Bersatu mencabar seorang ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongannya kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya berani meninggalkan parti itu.

Ini berikutan pelantikannya untuk mengetuai jawatankuasa kerajaan bagi menangani kenaikan harga makanan dan kos sara hidup.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal adalah salah seorang daripada enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar dan kerajaan perpaduan sejak kebelakangan ini.

Pada hari Ahad lalu, Anwar mengumumkan bahawa Syed Abu Hussin Hafiz akan mengetuai jawatankuasa di bawah Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL).

Bercakap kepada portal berita FMT, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan pelantikan Syed Hussin sebagai memalukan kerajaan.

“Jika dia masih ada maruah, dia patut keluar parti, tetapi nampaknya dia tidak tahu malu,” katanya.

“Memang memalukan kerajaan perpaduan, yang sudah mempunyai menteri dan ahli parlimen sendiri, tetapi terpaksa mengambil ahli parlimen Bersatu yang hipokrit untuk menyelesaikan isu rakyat.

“Jika beliau jujur dan adil, beliau harus mengosongkan kerusi Bukit Gantang dan menyerahkannya kembali kepada rakyat.”

ADUN Bemban Dr Yadzil Yaakub turut mencabar Syed Hussin meninggalkan Bersatu.

Beliau berkata tidak ada keperluan untuk Syed Hussin berasa ragu-ragu, selepas Syed Hussin berkata dia akan tetap setia kepada Bersatu walaupun berjanji menyokong Anwar.

Yadzil, yang merupakan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, berkata dengan menerima jawatan NACCOL “bermakna dia telah melanggar dasar parti”.

“Jika dia seorang yang berintegriti, dia harus meninggalkan parti,” katanya.

“Dia harus teguh berpegang kepada prinsipnya. Seseorang tidak boleh menuntut kesetiaan kepada isterinya pada masa yang sama terlibat dalam hubungan luar nikah.”

Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), yang baru-baru ini memohon menyertai Perikatan Nasional (PN), turut menggesa Syed Hussin meletakkan jawatan sebelum menerima sebarang peranan dengan kerajaan.

“Ia tidak adil kepada PN kerana dia (Syed Hussin) ialah ahli parlimen Bersatu tetapi menyokong kerajaan dan memegang jawatan kerajaan,” kata timbalan presiden MIPP S. Subramaniam.

Pada hari Ahad lalu, Majlis Tertinggi Bersatu bersetuju untuk meminda perlembagaan parti bagi menghalang wakil rakyatnya daripada menyokong kerajaan tanpa keluar parti, sekali gus mengetepikan undang-undang anti-lompat.

Selain Syed Hussin, lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang).

Kesemua enam ahli parlimen memberi alasan kononnya tindakan mereka adalah demi keperluan kawasan pilihan raya masing-masing, dan berkata mereka menyokong dasar kerajaan persekutuan. Bagaimanapun, mereka juga berkata mereka akan kekal setia kepada Bersatu.

-BTS Media

Leave a Comment