BTS Media

Cadangan Zahid terdesak, tak masuk akal, kata PAS

PAS membidas cadangan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi supaya rang undang-undang (RUU) mengekalkan kerajaan sehingga habis penggal diwujudkan, yang disifatkan langkah terdesak dan tidak masuk akal.

Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata pertukaran kerajaan di luar PRU adalah dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi negara.

Jelasnya, perdana menteri yang dilantik selepas PRU atau bila-bila masa lain tetapi kemudian hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat hendaklah meletakkan jawatan bersama anggota Jemaah Menterinya, melainkan jika atas permintaan Parlimen dibubarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan dalam Perkara 43(4) Perlembagaan.

“PAS tertanya-tanya apakah faktor yang mendorong seorang pemimpin kanan dan veteran seperti Zahid membuat cadangan yang begitu novis (baharu), terutama sekali selepas Anwar Ibrahim berkali-kali mendakwa kerajaan pimpinannya mendapat sokongan lebih dua pertiga di Parlimen?.

Adakah Zahid tidak yakin dengan dakwaan itu atau apakah beliau begitu terdesak untuk kekal berkuasa sehingga bersedia untuk membelakangkan Perlembagaan dan demokrasi sama seperti yang dilakukannya bagi mempertahankan kedudukan sebagai presiden Umno?,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Zahid mencadangkan diwujudkan RUU untuk mengekalkan kerajaan sehingga tamat penggal, susulan dakwaan wujud usaha menumbangkan pemerintahan Anwar Ibrahim menerusi ‘Langkah Dubai’ seperti dilaporkan media.

Zahid berkata RUU itu penting bagi menghalang usaha menumbangkan kerajaan atau ‘tebuk atap’ yang dipilih melalui pilihan raya, seterusnya menstabilkan negara.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata sesebuah kerajaan hanya akan dianggap sah selagi menikmati sokongan majoriti.

“Maka, dalam keadaan itu Yang Di-Pertuan Agong hendaklah menggantikan perdana menteri dengan pihak yang terbukti mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Justeru, sebarang usaha untuk menyekat atau memandulkan prinsip teras itu, sama ada melalui undang-undang baharu seperti yang dicadangkan atau tindakan tidak demokratik lain adalah tertolak serta terbatal secara muktamad.”

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/14/cadangan-zahid-terdesak-tak-masuk-akal-kata-pas/

Leave a Comment