BTS Media

Bertabahlah, pemimpin PAS sindir DAP susulan pembebasan Zahid

GAMBAR: FMT.

AHLI Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyindir DAP susulan keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

“Bertabahlah. Kami tahu kalian terpaksa menerima keputusan hari ini demi sebuah ‘perpaduan’. Kami faham ini waktu yang sukar buat kalian.

“Pendakwa (peguam negara) sendiri yang tarik balik pendakwaan. Kalian ada di dalam kerajaan yang melantik peguam negara itu,” katanya di Facebook.

Beliau turut meluahkan “simpati” terhadap parti itu yang perlu “berkorban dan terkorban demi sebuah perpaduan”.

“Dulu, kalian berhabis-habisan nak bawa Zahid ke penjara. Hari ini, kalian bersamanya di Putrajaya. Kalian harus faham, kalau parti Zahid tarik sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, parti dalam kerajaan akan jatuh termasuk parti kalian.

“Kami faham, betapa sukarnya untuk kalian perjelaskan kepada penyokong DAP,” katanya.

Hari ini, Zahid dilepas tanpa dibebaskan atas semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya.

Zahid sebelum ini diarah membela diri atas 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 berhubung pengubahan wang haram.

Dia dituduh melakukan pengubahan wang membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/09/04/bertabahlah-pemimpin-pas-sindir-dap-susulan-pembebasan-zahid/

Leave a Comment