BTS Media

Kota Tinggi banjir teruk, tangguh perjalanan

KOTA TINGGI: Orang ramai dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke bandar Kota Tinggi sepanjang tempoh banjir teruk yang melanda daerah itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata saranan itu dibuat susulan peningkatan paras air di kawasan berkenaan sehingga mencecah ketinggian tiga meter di kawasan rendah, sekali gus mendatangkan risiko.

Katanya, pengguna jalan raya boleh melalui jalan alternatif untuk keluar dari Bandar Kota Tinggi ke Johor Bahru dan Mersing.

“Setakat ini masih lagi ada beberapa jalan alternatif yang boleh dilalui untuk keluar daripada Bandar Kota Tinggi ke kawasan Mersing ataupun Johor Bahru.

“Antaranya Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, Jalan Kota Tinggi – Mersing melalui Bypass dan Jalan simpang lampu isyarat Pasak Ke Bandar Penawar untuk ke Johor Bahru, tetapi mengambil masa yang agak panjang kerana pengalihan jalan.

“Buat masa ini saya menyeru kepada penduduk yang terjejas mahupun orang ramai yang ingin memasuki Bandar Kota Tinggi untuk menangguhkan sementara pergerakan mereka.

“Ini berikutan keadaan situasi banjir yang mana banyak jalan-jalan yang masih digenangi air,” katanya ditemui semasa pemantauan banjir di kawasan sekitar Bandar Kota Tinggi, hari ini.

Bagaimanapun, katanya keadaan banjir di Kota Tinggi setakat ini masih terkawal.

“Saya berharap masyarakat Kota Tinggi dapat kekal tenang dan tidak panik kerana keadaan buat masa ini adalah terkawal, malah operasi pencegahan jenayah juga dilakukan bagi memastikan keselamatan harta benda mangsa banjir terutamanya mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, Kota tinggi menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di Johor, yang merekodkan seramai 4268 mangsa ditempatkan di 26 PPS.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1197631/jangan-datang-dulu-kota-tinggi-banjir-teruk

 

Leave a Comment