BTS Media

LFL: PADU sepatutnya tidak beroperasi sehingga undang-undang privasi data diperkuatkan

Oleh Yusoff A. Shariff

KUMPULAN peguam hak asasi dan reformasi undang-undang Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mendakwa bahawa pelaksanaan sistem pusat pangkalan data kerajaan yang baharu, PADU berisiko mendedahkan maklumat sensitif, dan tidak memberi orang ramai sebarang penyelesaian undang-undang untuk menuntut ganti rugi jika data peribadi mereka bocor atau dicuri.

Kumpulan itu, dalam satu kenyataan mendakwa agensi kerajaan dilindungi dari tindakan undang-undang jika data PADU bocor atau dicuri berdasarkan peruntukan di bawah seksyen 3(1) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) yang kelihatan mengecualikan kerajaan.

Menurut pengarah LFL Zaid Malek, walaupun terdapat alasan sah mengapa inisiatif itu perlu, namun ada kebimbangan serius mengenai perlindungan dan keselamatan data yang dikumpulkan.

Beliau berkata,  data yang dikumpulkan oleh PADU boleh disebar atau digunakan oleh kerajaan di luar tujuan sebenar, iaitu bagi kegunaan subsidi bersasar.

Zaid turut mendakwa bahawa pernah berlaku beberapa kes penyalahgunaan data oleh pihak kerajaan sebelum ini apabila data peribadi diguna untuk menyebarkan propaganda melalui SMS kepada orang ramai.

Padu dilancarkan pada hari Selasa dalam majlis meriah dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim melabelkannya sebagai pengubah keadaan (game changer) yang mampu menutup kebocoran subsidi berbilion ringgit seperti sering diraih golongan pertengahan atasan dan kaya.

Bagaimana pun, pengguna mengadu tentang beberapa masalah serius pada platform tersebut yang dilancarkan tidak lama selepas majlis pelancaran.

LFL mendakwa kerajaan mempunyai rekod buruk dalam perlindungan data. Pada masa lalu, terdapat banyak laporan mengenai data yang dicuri daripada pelbagai agensi kerajaan, justeru mendedahkan pengguna kepada ‘scam’ dan penipuan data tanpa tindakan undang-undang kerana kerajaan dikecualikan daripada tanggungjawab di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Zaid menambah bahawa ini akan menjadi “pengkhianatan besar” terhadap kepercayaan jika data yang dikumpulkan daripada orang ramai digunakan oleh kerajaan untuk sebarang tujuan politik.

LFL berkata ia juga menyokong gesaan supaya PADU digantung sementara sehingga kerajaan menangani semua kelemahan berhubung keselamatan, termasuk membuat pindaan kepada PDPA agar orang ramai yakin kerajaan boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku pelanggaran data peribadi.

Zaid berkata adalah “pelik” melihat kerajaan melancarkan platform tersebut tanpa mengetatkan undang-undang yang diperlukan bagi meningkatkan perlindungan data peribadi.

“Tanpa pindaan dibuat sebelum pelancaran PADU, orang ramai tidak yakin bahawa data mereka dilindungi daripada penyalahgunaan oleh kerajaan atau ‘scammer’ dan individu tidak bertanggungjawab yang pastinya menyasarkan pangkalan data besar-besaran itu,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment