BTS Media

PBAPP diarah ambil lima tindakan segera atasi kejadian paip pecah di Sungai Perai

GAMBAR: Bernama

 

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengarahkan lima tindakan segera diambil setelah menerima laporan pascanilai awal daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berhubung kejadian saluran paip pecah bawah permukaan air Sungai Perai, Butterworth dekat sini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, antara tindakan yang perlu diambil PBAPP termasuk memantau keadaan saluran paip dasar Sungai Perai yang dibaiki setiap hari, sehingga penyelesaian kekal dapat dilaksanakan.

“Dalam kes ini, penyelesaian kekal ialah memasang saluran paip merentasi sungai yang akan disokong oleh struktur di atas permukaan sungai dengan anggaran kos RM5 juta

“Ia harus disiapkan secepat mungkin pada 2024 bagi membolehkan pemeriksaan berkala dilaksanakan, di samping mengelak perkara serupa berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kira-kira 200,000 pengguna di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah pada 18 Dis lepas.

Chow berkata, PBAPP juga perlu mengesan dan melaporkan lokasi saluran paip bawah permukaan air yang lain di negeri ini serta menjalankan pemeriksaan khusus dalam air bagi semua saluran paip lain untuk menentukan sama ada terdapat sebarang bahaya atau risiko kemalangan yang serupa.

Katanya, pasukan pakar perlu sentiasa memeriksa secara berkala semua saluran paip utama, iaitu 900mm dan ke atas yang berada di atas tanah, serta meneroka kaedah mengesan potensi kecacatan atau kegagalan semua saluran paip utama yang tertanam sebesar 900mm dan ke atas.

Kerajaan negeri juga meminta supaya kerja-kerja penggantian saluran paip utama yang usang iaitu sebesar 900mm dan ke atas disegerakan, kata Chow.

“PBAP juga perlu memastikan pemulihan perkhidmatan bekalan air untuk 590,000 pengguna air yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual mulai 10 Jan nanti mengikut jadual yang telah diumumkan sebelum ini.

“Bekalan air untuk baki 0.2% pengguna terjejas, iaitu kira-kira 1,000 pengguna yang tinggal di kawasan kejiranan hujung paip agihan (HPA) dan tanah tinggi dengan isu khusus, juga mesti dipulihkan secepat mungkin selepas 96 jam,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata, dapatan daripada laporan awal kejadian yang diserahkan oleh PBAPP mendapati punca kejadian itu tidak diketahui dan sukar dipastikan kerana saluran paip itu terletak di bawah permukaan air, iaitu 3.5 meter di dasar Sungai Perai.

Katanya, saluran paip pecah itu terpaksa dibaiki segera kerana menyebabkan kebocoran yang mengakibatkan penurunan mendadak tekanan pam air bagi 200,000 pengguna air di Pulau Pinang.

-Bernama

Leave a Comment