BTS Media

Suhu rendah: Keadaan sejuk hingga Januari di Semenanjung – MetMalaysia

GAMBAR Hiasan

 

Oleh Zainal AS Rashid

MALAYSIA dijangka mengalami cuaca sejuk.

Pakar iklim meramalkan penurunan suhu yang boleh berlanjutan sehingga bulan depan.

Menurut laporan akhbar The Star hari ini, pakar meteorologi Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Prof Dr Azizan Abu Samah berkata Semenanjung Malaysia dijangka mengalami suhu purata antara 21°C hingga 25°C untuk sekurang-kurangnya dua hari. Ia merupakan perubahan ketara daripada biasa suhu petang 31°C hingga 32°C.

Jabatan Meteorologi melaporkan bahawa cuaca sejuk itu berpunca daripada sistem tekanan tinggi kuat dari China, yang mengakibatkan gelombang sejuk melanda beberapa wilayah Asia Tenggara.

Susulan ramalan itu, Thailand dikatakan telah bersiap sedia untuk menghadapi suhu lebih sejuk, iaitu penurunan kepada 3°C di Bangkok dan kebanyakan bahagian negara itu, kecuali kawasan selatan, dari 20 hingga 25 Disember.

“Angin di sini berasal dari Siberian High, jadi akan berlaku musim sejuk yang dikaitkan dengan tekanan lebih tinggi seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi Thailand.

“Memandangkan puncanya di Siberia, ia akan membawa udara lebih sejuk ke rantau ini,” katanya.

Siberian High, yang juga dikenali sebagai Antisiklon Siberia, adalah himpunan udara sejuk dan kering di bahagian timur laut Eropah-Asia (Eurasia) dari September hingga April.

Ia biasanya berpusat di Tasik Baikal dan merupakan punca suhu terendah di luar Greenland, iaitu −67.8 °C yang pernah berlaku di Verkhoyansk pada 15 Januari 1885, dan tekanan tertinggi, 1083.8 mbar di Agata, Krasnoyarsk Krai, pada 31 Disember 1968.

Sistem tersebut adalah punca berlaku musim sejuk ekstrem dan keadaan kering bersalji di seluruh bahagian Rusia, Mongolia, dan China.

Sistem Siberian High mempengaruhi corak cuaca di kebanyakan bahagian utara bumi, hingga menjangkau ke wilayah barat ke Itali, lalu membawa keadaan sejuk ke selatan termasuk Malaysia, di mana ia merupakan komponen penting monsun timur laut.

Sebagai respons kepada keadaan cuaca yang dijangkakan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap tinggi di beberapa kawasan Terengganu dan Kelantan.

Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah berkata hujan lebat dijangka berterusan sehingga hari ini.

Beliau berkata di Kelantan, kawasan terjejas termasuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Baru, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, dan Kuala Krai.

Di Terengganu, kawasan yang mengalami keadaan sama, termasuk Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

Beliau menambah, amaran sama turut membabitkan beberapa kawasan di enam negeri, iaitu Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang), Terengganu (kemaman) dan Pahang (Jerantut dan Kuantan).

-BTS Media

Leave a Comment