BTS Media

Suhu di Sik, Kedah serendah 18 darjah Celcius

SIK: Suhu dingin antara 18 hingga 19 darjah Celsius di Sik pagi tadi, menyebabkan penduduk terpaksa mengenakan pakaian lebih tebal bagi melakukan aktiviti harian.

Penduduk, Zaini Abu Bakar, 38, berkata cuaca sejuk sejak beberapa hari lalu, menyebabkan rutin pagi keluarganya sedikit terganggu apabila anaknya sukar bangun dan mandi pagi untuk ke sekolah.

“Pagi ini, suhu lebih sejuk berbanding biasa, selalunya anak tak ada masalah hendak mandi pagi tetapi hari ini mereka menggeletar kesejukan sebelum dan selepas mandi. Hendak ambil wuduk pun sudah sejuk, apa lagi hendak mandi.

“Ketika hantar anak ke sekolah saya terpaksa pakai baju tebal, anak juga dipakaikan baju panas supaya mereka tidak terlalu sejuk ketika membonceng motosikal,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Siputeh, di sini.

Zaini yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, cuaca sejuk sebegini lazimnya menandakan musim kemarau akan bermula tidak lama lagi.

Penduduk, Nurul Asma Ghazali, 35, berkata dia terpaksa menjerang air untuk dicampurkan dengan air paip untuk anaknya berusia lima tahun mandi sebelum dihantar ke tadika.

“Memang sejuk luar biasa pagi ini hingga berkabus di hadapan rumah, apabila sejuk memang anak liat bangun pagi.

“Ada yang menangis tak mahu mandi, terpaksa dipujuk baharu mahu mandi dengan air panas,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata, cuaca sejuk di daerah itu adalah perkara biasa apabila negeri utara berada pada fasa kedua musim Monsun Timur Laut.

Jelasnya, sepanjang tempoh ini kebiasaannya awan akan berkurangan di kawasan terbabit.

“Awan berfungsi seperti selimut yang memerangkap haba, apabila tiada awan, haba yang ada di bumi akan terlepas naik ke udara.

“Keadaan ini akan menyebabkan orang ramai berasa lebih sejuk berbanding biasa,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, kelazimannya juga bagi tempoh Januari hingga Mac, negeri di utara Semenanjung akan menerima kurang hujan.

Katanya, ia akan mengakibatkan cuaca agak kering dan suhu maksimum harian juga dijangka meningkat selain berkemungkinan berlaku jerebu tempatan dan juga kebakaran.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1052931/sik-alami-suhu-dingin-19-darjah-celsius

Leave a Comment