BTS Media

Kakitangan Universiti Malaya, guru gagal batal keputusan kerajaan laksana program vaksinasi Covid-19

MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak dua permohonan semakan kehakiman untuk mencabar program vaksinasi Covid-19 kerajaan, dengan alasan tiada merit.

Menyampaikan keputusannya, Hakim Shahnaz Sulaiman berkata, langkah-langkah yang diambil kerajaan adalah perlu memandangkan virus Covid-19 menular di seluruh dunia, mencetuskan wabak.

Justeru, pihak berkuasa bertanggungjawab mengambil langkah-langkah untuk menjamin kesihatan awam, katanya.

“Mahkamah mendapati tiada keadaan tidak rasional atau kesalahan dari segi undang-undang untuk (mewajarkan) membatalkan keputusan (kerajaan) yang dipertikaikan ini,” menurut hakim.

Shahnaz juga tidak bersetuju dengan pertikaian pemohon bahawa sekatan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan pada kemuncak wabak Covid-19 melanggar Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan pergerakan.

Hakim mendengar permohonan yang difailkan oleh dua kumpulan yang berusaha membatalkan program vaksinasi yang dilaksanakan kerajaan menerusi pekeliling yang dihantar kepada penjawat awam.

Kumpulan pertama terdiri daripada 19 kakitangan akademik dan pentadbiran Universiti Malaya, yang menamakan pendaftar universiti; Jabatan Perkhidmatan Awam dan ketua pengarahnya, Khairul Adib Abd Rahman; Kementerian Kesihatan (KKM) dan Putrajaya sebagai responden.

Permohonan kedua dikemukakan oleh lima guru dari seluruh negara, yang menamakan menteri pendidikan; menteri kesihatan; Kementerian Pendidikan (KPM); Kementerian Kesihatan (KKM); Khairul Adib dan kerajaan persekutuan sebagai responden.

Dalam permohonan yang difailkan pada Oktober 2021, pemohon mempertikaikan bahawa keputusan kerajaan memberikan vaksin kepada mereka tanpa persetujuan adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kata mereka, sebagai penjawat awam, mereka mesti diberi kebebasan memilih sama ada mahu menyertai program itu atau tidak.

Mereka juga berkata, tindakan kerajaan memaksa mereka mengambil vaksin melanggar hak asasi mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Pada 26 Mei tahun lepas, pemohon mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman atas merit.

Mustaqim Ahmad Huzaini tampil mewakili pemohon selaku peguam.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan dan KKM, manakala Melanie Lim dan Raja Eileen Soraya Raja Aman tampil selaku peguam bagi pihak pendaftar UM.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/12/14/kakitangan-um-guru-gagal-batal-keputusan-kerajaan-laksana-program-vaksinasi-covid-19/

Leave a Comment