KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Isham Jalil bertegas tidak akan menghadiri mesyuarat MKT malam ini sebagai tindakan protes kepada kepimpinan parti itu.
Isham bertegas, beliau kekal dengan pendirian itu selagi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih kekal dengan pendirian menyertai pilihan raya bersama DAP.
Katanya, sebagai Ahli MKT bagi penggal kedua, beliau dapat membaca apa yang akan dilakukan Ahmad Zahid ketika mempengerusikan mesyuarat parti itu dan veto keputusan yang dibuat.
“Buat apa saya ikut kemahuan dia dan datang tadah muka di lubuknya. Kalau dia ikhlas, mungkin Presiden boleh tunaikan cabarannya untuk berdebat dengan saya sebelum ini, di gelanggang yang neutral. Kalau dia berani,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid pada sidang media hari ini mengharapkan Isham mempunyai keberanian untuk menghadiri Mesyuarat MKT parti itu malam ini, selepas tiga kali beliau tidak menghadirinya.
“Kalau (Isham) ada pendapat yang lain beliau boleh suarakan (pada Mesyuarat MKT). Setakat ini beliau sudah tiga kali tidak datang mesyuarat MKT.
“Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang malam ini untuk menyuarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita mahu jalin kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Zahid mengulas kenyataan Isham sebelum ini yang menyifatkan kekalahan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman berpunca daripada pemimpin UMNO yang terlalu mempertahankan DAP.
Mengulas lanjut, Isham berkata, Ahmad Zahid perlu sedar dan menerima hakikat serta tidak berada dalam sindrom penafian bahawa lebih ramai orang-orang Melayu kini menolak UMNO oleh kerana keputusan Presiden untuk menyertai pilihan raya bersama DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Jika keadaan ini berterusan, UMNO akan hancur dalam beberapa tahun lagi. UMNO ini adalah parti keramat yang memperjuangkan orang-orang Melayu di Malaysia selama ini.
“Usahlah kerana kepentingan diri seluruh parti hancur lebur dibuatnya. Jika Ahmad Zahid letak jawatan, saya pun akan letak jawatan. Kita sama-sama berkorban asalkan parti keramat ini dapat diselamatkan selagi ada masa,” katanya.
Baca lagi: https://rb.gy/bkwl0o