BTS Media

Zahid mengaku bertanggungjawab UMNO kalah teruk, tapi masih tak akan berundur

Oleh Zainal AS Rashid

PRESIDEN UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengaku bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya negeri pada Sabtu lepas.

Zahid berkata walaupun UMNO kalah, ia tidak bermakna beliau akan berundur daripada jawatannya sebagai presiden parti itu.

Beliau mengaku sedar tentang gesaan sebegitu (untuk berundur), dan berjanji akan mendapatkan kembali keyakinan rakyat.

“Kami akan melihat pendekatan dan strategi untuk memenangi hati rakyat, pengundi sekali lagi,” katanya kepada The Star pada Isnin.

Beliau mengulas gesaan supaya meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO berikutan kekalahan paling teruk parti itu dalam pilihan raya negeri, apabila hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang dipertandingkan.

UMNO juga kalah kesemua kerusi DUN yang ditandingi di Terengganu dan Kedah dan hanya menang dua di Pulau Pinang dan Selangor serta satu di Kelantan, manakala di Negeri Sembilan parti itu memenangi 14 daripada 17 kerusi yang dipertandingkan.

“Walaupun saya bertanggungjawab terhadap keputusan pilihan raya, seperti apa yang Datuk Seri Johari Abdul Ghani katakan, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab kepimpinan UMNO sepenuhnya,” katanya.

Zahid berkata antara isu yang perlu ditangani pada masa ini ialah kerjasama antara parti itu dan DAP dalam kerajaan perpaduan.

-BTS Media

Leave a Comment