Oleh Zainal AS Rashid
PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kebimbangan sesetengah rakyat terhadap pelaksanaan Identiti Digital Nasional atau ID Digital, seperti rekod peribadi dan perbankan dibocorkan serta cip ditanam ke dalam badan individu, adalah tidak berasas sama sekali.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, apabila bercakap mengenai transformasi digital, rakyat perlu menerima hakikat bahawa negara harus maju seiring perkembangan semasa, termasuk penggunaan teknologi, lapor NST.
“Apa yang perlu ditakuti dengan isu peribadi? Bank Negara Malaysia tidak akan mendedahkan butiran perbankan peribadi. Jadi, ia terkawal.
“Ada pula yang mengatakan cip akan dimasukkan ke dalam badan kita dan sebagainya.
“Mereka menonton terlalu banyak filem Hollywood,” katanya kepada pemberita selepas mendaftar untuk Digital ID di Putrajaya hari ini, justeru menjadikan dirinya individu pertama di negara ini memiliki kaedah pengenalan diri itu.
Selain Anwar, turut mendatarkan diri, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dan Fadillah Yusof, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, lapor Bernama
Lain-lain termasuk Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu, Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi ) Azalina Othman Said, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.
Anwar berkata, sebelum membuat sebarang komen pihak yang memandang serong kaedah itu perlu mendengar dan memahami terlebih dahulu penjelasan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhubung ID Digital supaya tidak menjejaskan keyakinan rakyat.
Sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memaksa sesiapa untuk mendaftar ID Digital buat masa ini, beliau bagaimanapun menggalakkan semua penjawat awam berbuat demikian kerana Bantuan Tunai Rahmah (STR) dan semua bentuk subsidi yang disasarkan akan disalurkan melalui kaedah itu.
ID Digital ialah kaedah digital pengenalan dan pengesahan individu yang akan memberi manfaat kepada sektor awam dan swasta bagi mengesahkan identiti pengguna semasa menjalankan transaksi dalam talian.
Tanpa menggantikan sistem MyKad, Digital ID adalah platform yang dipercayai dan selamat serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelak penipuan identiti semasa menjalankan transaksi dalam talian.
-BTS Media