BTS Media

Derma Aman Palestin disiasat kerana didakwa guna untuk peribadi – Laporan

SIASATAN kes Aman Palestin Bhd mendapati bahawa terdapat sebuah syarikat menerima lebih RM70 juta daripada pertubuhan bukan kerajaan itu, yang dipercayai sumbangan untuk beberapa tabung kebajikan.

Penemuan itu dibuat selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan lima serbuan pada 24 Nov, termasuk ke atas syarikat berkenaan, lapor The Star.

Akhbar itu memetik sumber berkata wang tersebut yang dikatakan adalah untuk dana kebajikan rakyat Palestin, Turkiye, Yaman dan Syria,  didapati telah disalurkan kepada syarikat berkenaan.

“Penyiasat mendapati wang dikreditkan ke dalam akaun syarikat,” dedah sumber itu kepada The Star, sambil menambah bahawa dana tersebut disyaki telah digunakan untuk membuat pelaburan tunai dan membeli emas dan hartanah.

Sumber yang sama berkata syarikat itu didapati memiliki 27 aset, termasuk bidang tanah di Selangor, selain bangunan di negeri lain.

“Penyiasat yang meneliti jejak wang itu juga mendapati wang daripada Aman Palestin yang disalurkan kepada syarikat tersebut kemudian dipindahkan ke akaun milik beberapa syarikat lain,” kata sumber itu.

Penyiasat merampas beberapa barangan dalam serbuan itu, termasuk empat jongkong emas Gred 999.9 seberat 1kg setiap satu, dan empat telefon bimbit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan beberapa serbuan dilakukan, termasuk di pejabat Aman Palestin, serta kediaman tiga pegawai Aman Palestin.

Beliau berkata, seramai 11 individu setakat ini telah dipanggil untuk disoal siasat.

Azam berkata lebih ramai individu dijangka dipanggil berhubung kes itu.

Aman Palestin yang mula beroperasi pada tahun 2004 ditubuhkan sebagai NGO untuk menyalurkan bantuan bagi aktiviti kemanusiaan di Palestin.

Pada 23 Nov, SPRM berkata lebih RM25 juta dalam 42 akaun bank di bawah Aman Palestin dibekukan.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan terhadap NGO berkenaan telah dijalankan sejak 17 Okt 2023, berikutan dakwaan penyelewengan terhadap aktiviti pengumpulan dananya.

Menurut laporan, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin melalui surat bertarikh 24 Ogos telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis agar tidak membenarkan kutipan dana oleh Aman Palestin di masjid-masjid di negeri itu.

Beliau menyatakan keraguan tentang kutipan serta pengagihan dana Aman Palestin, dan meminta lebih ketelusan dalam perkara itu.

Susulan itu, pihak berkuasa agama negeri menggantung kutipan dana oleh Aman Palestin di negeri Perlis.

Aman Palestin berjanji untuk bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan SPRM.

Sebelum ini, Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali badan tersebut akan mengambil tindakan undang undang sivil, iaitu fitnah jenayah kepada pemfitnahnya selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.

Muhammad Rafiqueberkata, pihak Aman Palestin telah mengenal pasti pihak yang melemparkan tohmahan berkenaan hingga memberi impak negatif kepada pertubuhan tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment