BTS Media

Muhyiddin tak jadi undur, pertahan jawatan sepenggal lagi

GAMBAR: Bernama

 

TAN Sri Muhyiddin Yassin akhirnya mengumumkan beliau akan mempertahankan jawatan presiden Bersatu untuk sepenggal lagi.

Pusingan U itu menyusuli sokongan besar yang nyata sejak semalam, dalam kalangan anggota majlis pimpinan tertinggi dan peserta Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) 2023.

Muhyiddin dalam ucapan pada sesi penggulungan sidang memaklumkan beliau diyakinkan oleh isterinya, Noorainee Abdul Rahman, untuk tidak mengecewakan ahli yang kelihatan memerlukannya.

“Saya kata ‘OK, I will stay for the last term’. Saya mengumumkan akan bertanding pada pemilihan akan datang,” katanya, disambut sorakan para hadirin di Pusat Konvensyen Ideal.

Bersatu menyaksikan sokongan kuat kepada Muhyiddin, yang mengumumkan hasrat tidak pertahan jawatan presiden pada pada pemilihan parti tahun depan, dalam ucapan dasarnya semalam.

Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (MPT) selepas suatu mesyuarat tergempar semalam ‘menolak’ keputusan Muhyiddin, dan hari ini Pengerusi Tetap Suhaimi Abdullah mengumumkan PAT juga sedemikian, dengan ‘sebulat suara’.

Sumber memberitahu FMT tiada ahli MPT mahu menawarkan diri untuk mengambil tempat Muhyiddin apabila ditanya dalam mesyuarat tergempar, semalam.

Sementara itu, Muhyiddin pada sidang media selepas ucapan tadi, menafikan pengumuman tidak bertanding pemilihan semalam suatu gimik.

“Saya bukan main-main. Saya tak faham kenapa cakap macam ini,” katanya kepada pemberita.

Minggu lepas, FMT memetik Muhyiddin sebagai berkata, beliau sedar wujudnya gesaan agar berlaku perubahan dalam kepimpinan parti.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/11/25/isteri-pujuk-muhyiddin-buat-pusingan-u-tak-berundur/

Leave a Comment