BTS Media

Harga barang keperluan naik; ibu bapa terpaksa beli makanan murah, kurang nutrisi – Lukanisman

KUALA LUMPUR: Peningkatan kos sara hidup, terutama akibat kenaikan harga barang keperluan asas, menyebabkan sebilangan ibu bapa terpaksa mendapatkan makanan murah yang kurang atau tiada nutrisi, sekali gus dikhuatiri memberi kesan terhadap tahap kesihatan wanita hamil dan kemungkinan bayi dilahirkan akan mengalami masalah bantut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata beliau bimbang akan perubahan gaya hidup ibu bapa sekarang berikutan terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Saya juga agak bimbang dengan keadaan harga, kos kehidupan yang semakin meningkat… seperti barang keperluan yang mempunyai nutrisi ini, harganya meningkat.

“Ini akan menyebabkan ibu bapa memilih untuk mendapatkan makanan yang murah, dan ibu sedang hamil juga tidak mengambil nutrisi yang terbaik bagi memastikan anak dilahirkan dengan sihat serta tidak berbantut.

“Bantut memberikan kesan agak besar di mana anak-anak yang bantut akan lebih terdedah dengan penyakit seperti obesiti. Ini juga akan menyebabkan produktiviti tumbesaran anak-anak ini terjejas.

“Sekiranya kumpulan kanak-kanak ramai yang terbantut, produktiviti negara pada masa akan datang juga akan terjejas untuk mengeluarkan hasil terbaik kepada negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mengenai sejauh mana ukuran kumpulan yang agak terpinggir supaya kerajaan dapat menangani masalah bantut dengan baik.

Lukanisman turut mendedahkan ada pengusaha kantin di sekolah tertentu yang menyediakan menu sosej dan nasi melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di mana murid terbabit sepatutnya disajikan dengan makanan sihat dan berkhasiat.

Beliau menjelaskan, isu nutrisi bukan saja dihadapi keluarga B40, malah turut berlaku dalam kalangan keluarga T20 sehingga terdapat anak-anak daripada golongan isi rumah berkenaan juga mengalami masalah bantut.

“Saya setuju bahawa masalah bantut bukan saja tertumpu kepada golongan B40. Dalam rekod kami pada lima tahun lalu, berlaku masalah bantut di tiga negeri tertinggi seperti Kelantan dan juga Putrajaya termasuk dalam senarai tiga teratas.

“Populasi Putrajaya adalah kebanyakan golongan yang mempunyai pendidikan. Golongan ini juga mengambil langkah mudah kerana kesibukan dan pembinaan kerjaya lebih meluas. Jadi dari segi pemilihan makanan, makanan segera sering diberikan kepada anak mereka,” katanya.

Beliau sekali gus menyarankan ibu bapa meluangkan masa untuk memasak bersama-sama, dan anak-anak lebih tertarik kepada makanan mengandungi nutrisi.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1171797/harga-barang-keperluan-naik-ibu-bapa-terpaksa-beli-makanan-murah

Leave a Comment