Oleh Zainal AS Rashid
PENGELUAR kereta nasional Proton Holdings Bhd melancarkan model akan datangnya, S70, pada majlis pelepasan hari ini.
Dikeluarkan oleh kilang syarikat tersebut di Tanjung Malim, Perak, S70 merupakan tambahan baharu pertama kepada barisan sedan Proton sejak pelancaran Persona pada Ogos 2016.
Selain nama rasmi model itu, slogan untuk S70 diumumkan sebagai “Intelligence that Evolves” oleh ketua pegawai eksekutif Proton Dr Li Chunrong, yang turut mengesahkan bahawa semua cawangan Proton akan mula menerima tempahan pelanggan mulai 1 Nov dengan bayaran RM500, lapor NST.
“S70 menandakan lembaran baharu untuk Proton apabila Proton kembali ke pasaran sedan keluarga dengan model yang merupakan langkah seterusnya dalam evolusi penawaran kami.
“Dilengkapi teknologi keselamatan pintar, ketersambungan dan enjin pengecas turbo 1.5L dengan transmisi dwi klac, kami menaruh harapan tinggi ia akan terbukti popular dalam kalangan peminat Proton semasa dan baharu serta membantu mengembalikan jenama itu ke puncak segmen pasaran yang sebelum ini diterajui oleh model seperti Proton Wira, Waja dan Prevé,” kata Li.
Mengikuti jejak langkah X70, X50 dan hibrid ringan X90, S70 akan menjadi model Proton serba baharu keempat yang akan dibangunkan bersama syarikat China, Geely.
Ia juga merupakan model baharu kedua yang ditawarkan pada 2023.
Sebelum pelancaran rasminya, pratonton pelanggan akan diadakan di beberapa ibu negeri mulai 11 Nov untuk membolehkan orang ramai melihat model itu secara dekat.
“Majlis pelepasan hari ini merupakan satu lagi langkah penting bagi Proton dalam usaha kami dengan DRB-HICOM Bhd dan Geely untuk menjadikan Tanjung Malim dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif sebagai hab automotif negara.”
Li menambah, sejak 2019 syarikat itu telah melabur lebih RM1.8 bilion bagi menaik taraf kemudahan di sini dengan membina barisan pemasangan enjin baharu, ‘stamping shop’ baharu serta barisan pemasangan baharu.
-BTS Media