GAMBAR: Toccoa Riverside Restaurant.
Oleh Fetty Rara
SEBUAH restoran di Georgia, Amerika Syarikat mengenakan caj tambahan $50 (RM237) ke atas ibu bapa kanak-kanak yang tidak dikawal dan membuat bising.
Tindakan tersebut menyebabkan sesetengah pihak mempersoalkan sama ada dasar itu adil atau sebaliknya.
Toccoa Riverside Restaurant itu mendapat perhatian meluas di platform sosial media Reddit. Isu tersebut menjadi tular setelah dikongsi oleh pengguna u/LPineapplePizzaLover.
Menurut akhbar British The Independent, menu restoran juga termasuk amaran bahawa pelanggan akan dikenakan caj 20 peratus jika mereka makan bersama lebih enam orang, meminta bil berasingan, atau meminta “menu hari jadi”.
Jika pelanggan membayar menggunakan kad kredit mereka akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak 3.5 peratus.
Dalam komen bebenang post Reddit itu, ramai pengguna meninggalkan komen negatif, selain menasihatkan orang ramai supaya tidak makan di restoran tersebut.
Satu komen dengan tegas mengingatkan orang ramai yang ingin membawa anak supaya mengunjungi restoran lain.
Dia menceritakan bagaimana pemilik restoran menjelaskan bahawa caj tersebut dikenakan kerana anak-anak si pelanggan bermain dan berlari ke serata restoran dan membuat bising.
Pelayan yang mengambil pesanan dengan rendah hati memohon maaf kerana caj tersebut.
Bagaimana pun, tidak semua orang menolak sepenuhnya dasar restoran itu.
Mereka berkata, “Tempat ini bagus, dan pemiliknya 100 peratus benar tentang keluarga yang tidak mengawal anak-anak. Jangan bawa anak buas ke tempat awam dan harapkan orang lain akan menerimanya.
Beberapa komen lain bersetuju. Ada yang menulis, “Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan restoran atas dasar mereka untuk mengenakan bayaran terhadap ibu bapa jika anak kecil mereka yang buas tidak diawasi. Restoran bukanlah taman permainan peribadi untuk anak-anak mereka, jika itu yang dicari, bawa pergilah ke McDonalds…”
-BTS Media