BTS Media

Penyakit ancam penduduk Gaza hilang tempat tinggal disebabkan pengeboman berterusan Israel

GAMBAR: Anadolu.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

PENDUDUK Palestin yang dipindahkan dari Semenanjung Gaza kini menunjukkan tanda-tanda penyakit disebabkan oleh kesesakan dan sanitasi yang buruk di tengah-tengah serangan udara Israel dan sekatan di kawasan pinggir laut, lapor Agensi berita Turki Anadolu.

“Kami hanya tidur di atas tanah di hospital. Tiada bantuan atau ubat,” kata Nadine Abdul Latif, 12, kepada Anadolu, dipetik oleh MiddleEast Monitor (MEMO).

Dia berkata, pesakit tidur bersama mayat-mayat mangsa yang terkorban.

Semenanjung Gaza disasarkan serangan udara Israel tanpa henti sejak 7 Oktober,  berikutan serangan rentas sempadan oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas, ke dalam wilayah Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza menganggarkan kira-kira 6,546 orang maut akibat pengeboman, manakala jumlah kematian di Israel mencecah 1,400.

Israel telah meletakkan 2.3 juta penduduk Palestin di Gaza di bawah sekatan dan memutuskan bekalan elektrik, air bersih dan bahan api.

Hanya beberapa trak bantuan dibenarkan oleh Israel masuk ke Wilayah Palestin dari Mesir.

“Bantuan yang dihantar kepada kami untuk meringankan penderitaan tidak mencukupi,” kata Abdul Latif.

“Macam-macam penyakit merebak sekarang dalam kalangan mangsa, seperti selesema dan cacar.”

Debu tebal daripada beribu-ribu misi serangan udara Israel sejak beberapa minggu lalu juga telah menyebabkan penularan penyakit pernafasan dalam kalangan penduduk.

“Ia menyebabkan sepupu saya yang berusia dua bulan tidak dapat bernafas. Apakah dosa bayi ini hingga dimangsakan sedemikian rupa?” tanya Nadine.

“Tiada air bersih, tiada makanan bersih, tiada apa-apa…yang tinggal hanya makanan rosak.”

“Kami penat. Apakah kesalahan kanak-kanak di sini semua? Kami tidak melakukan apa-apa untuk menerima nasib sebegini.”

Menurut pejabat media kerajaan di Gaza, kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza.

“Keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal kini tidak mempunyai keperluan hidup paling asas di tengah-tengah perang berterusan di Gaza,” kata Salama Maarouf, jurucakap pejabat media.

Penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal berkata mereka mengalami sakit perut, jangkitan paru-paru dan ruam kerana kesesakan setelah tentera Israel mengarahkan penduduk utara wilayah itu berpindah ke selatan. “Semua kanak-kanak mengalami demam panas”. Mereka kehilangan tempat tinggal. Mereka takut,” kata Ali Salem Aliwa, 64, kepada Anadolu.

“Tiada selimut, tiada katil, tiada air, tiada apa-apa, dan isteri saya pula lumpuh,” katanya.

“Tiada ubat. Kami kehilangan tempat tinggal selepas rumah kami musnah dibom.”

Ali berkata dia mengambil dua botol air dari masjid berhampiran untuk digunakan oleh keluarganya untuk membersihkan diri setiap hari.

-BTS Media

Leave a Comment