BTS Media

Israel isytihar perang selepas Hamas lancar ‘5,000 roket dan serangan darat’

GAMBAR: Anadolu.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

PEMIMPIN sayap tentera Hamas, Mohammed Deif berkata kumpulan itu telah melancarkan operasi ketenteraan baharu terhadap Israel.

Dalam satu kenyataan awam, beliau berkata “5,000 roket” telah dilancarkan ke Israel awal hari Sabtu untuk memulakan “Operasi Ribut Al-Aqsa.”

Israel juga melaporkan penyusupan pejuang Islam dari Gaza.

Menurut Deif tindak balas besar-besaran oleh Hamas ini adalah kerana sudah cukup menahan asakan Israel terhadap Palestin selama ini, lapor media tempatan.

Deif, yang terselamat daripada beberapa percubaan Israel untuk membunuhnya tidak mendedahkan di mana beliau berada, dan kenyataannya itu hanya disampaikan melalui rakaman suara.

Tentera Israel berkata pejuang Hamas telah menyusup masuk ke wilayah Israel, tanpa memberikan butiran lanjut.

Video dengan bunyi tembakan yang disiarkan di media sosial menunjukkan individu bersenjata dan beruniform di dalam kawasan bandar sempadan Israel, Sderot.

Israel yang segera melancarkan serangan balas, menyasarkan Semenanjung Gaza, dan menteri pertahanannya telah meluluskan mobilisasi pasukan simpanan tentera.

Penyusupan pejuang Hamas itu berlaku ketika berpuluh-puluh roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke arah Israel pada awal hari Sabtu.

Siren serangan udara tercetus di seluruh Israel untuk menggerakkan penduduk dan sistem pertahanan bagi kemungkinan menghadapi perang sengit.

-BTS Media

Leave a Comment