KUALA LUMPUR: Harga sayuran yang dijual di peringkat pekebun kepada pemborong atau orang tengah jatuh sehingga separuh daripada kos pengeluaran sayuran.
Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abdul Rahman berkata, sebagai contoh, kos pengeluaran bagi sekilogram kubis adalah RM1 dan harga yang dijual kepada pemborong atau orang tengah hanya 50 sen sekilogram.
Katanya, kebanyakan sayur kini dijual dengan harga yang rendah kerana penawaran sayur lebih tinggi berbanding permintaan.
“Walaupun keadaan ini berlaku, petani terpaksa juga jual untuk tambah pendapatan. Macam kubis, kalau kita nak tanam kubis sekilogram kos pengeluaran dia adalah RM1. Ini termasuk benih, baja dan racun,” katanya.
Ditanya berkenaan isu lambakan sayuran sehingga menyebabkan ribuan sayur terpaksa dibuang seperti yang berlaku di Johor Bahru, Syed berkata, perkara itu tidak berlaku di Cameron Highlands setakat ini.
“Bagaimanapun, saya bimbang kerana lambakan berpotensi berlaku sekiranya keadaan penawaran sayuran tinggi berbanding permintaan ini berterusan selain harga sayuran juga rendah.
“Kalau dekat Johor Bahru buang, di sini masih belum sampai lagi tetapi mungkin boleh berlaku (lambakan sayur) jika keadaan berlarutan sampai minggu depan atau dalam 10 hari lagi,” katanya.
Terdahulu BH melaporkan, kejatuhan harga serta kelembapan jualan yang dialami ketika ini, menyebabkan ramai pekebun sayur di seluruh negara berdepan lambakan sejak bulan lalu sehingga ada yang terpaksa memusnahkan hasil kebun masing-masing.
Mengulas lanjut, Syed berkata, antara jenis sayuran lain yang mengalami penurunan harga termasuk tomato yang dijual pada 80 sen hingga RM1 sekilogram berbanding kos pengeluarannya RM2 manakala harga bagi sayur salad adalah sekitar RM1.40 sehingga RM1.50 sekilogram berbanding harga pengeluaran RM2.
“Rata-rata harga sayuran sekarang memang dibawah kos pengeluaran. Tapi nak buat macam mana… kami petani terpaksa jual juga untuk tambah pendapatan.
“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ada juga bantu pekebun dengan membeli sayuran yang berlebihan dengan harga tinggi sikit berbanding harga pasaran. Ini serba sedikit membantu dan kurangkan beban petani,” katanya.
Tambah beliau, antara faktor yang mempengaruhi penawaran sayuran yang tinggi adalah cuaca.
“Cuaca dalam dua tiga bulan ini memang cantik, itu sebabnya banyak hasil yang dikeluarkan…tapi itulah sayang, banyak yang dihasilkan tapi permintaan kurang
“Kami harap kerajaan dapat bantu kami dari segi pemberian subsidi macam yang pernah dibuat sebelum ini,” katanya.