BTS Media

Kadar baharu DuitNow mula 1 Nov tak adil

Oleh Zainal AS Rashid

KADAR baharu DuitNow yang dilaporkan berkuat kuasa mulai 1 Nov adalah sangat tidak adil kepada perniagaan kecil atau “warung” tepi jalan yang tidak menggunakan kemudahan pembayaran kad, kata Wee Ka Siong.

Presiden MCA itu berkata ia hanya akan menghalang pertumbuhan kaedah pembayaran tanpa tunai dan merugikan peniaga dan peruncit kecil.

Beliau berkata, memandangkan penerima DuitNow QR (Boost, GrabPay, Setel, dan Touch ‘n Go) terdiri daripada perniagaan kecil, termasuk ‘warung’ di tepi jalan yang tidak mempunyai mesin pembayaran kad, kadar baharu DuitNow ini dilihat sebagai diskriminasi terhadap mereka dan tidak adil sama sekali untuk usahawan kecil.

Katanya lagi, pada masa kenaikan kos sara hidup yang diburukkan lagi oleh inflasi, pihak berkenaan tidak seharusnya membuat keputusan remeh yang boleh mencetuskan kesan lain dan hanya membebankan lagi rakyat dan menimbulkan lebih banyak kesulitan.

“Ini akan menghalang pertumbuhan kaedah pembayaran tanpa tunai dan lebih berkemungkinan, sangat merugikan peniaga dan peruncit kecil Malaysia yang paling terdedah (dengan keadaan),” katanya dalam Facebook semalam (27 Sept).

Beliau mengulas laporan portal yang mendakwa bahawa mulai 1 Nov, caj sebanyak 0.25 peratus akan dikenakan ke atas jumlah pembayaran melalui DuitNow QR menggunakan kad debit, dan 0.50 peratus bagi kad kredit.

Pada masa ini, tiada caj dikenakan untuk transaksi DuitNow QR di bawah RM5,000. Hanya caj 50 sen dikenakan bagi transaksi melebihi RM5,000.

Wee berkata, caj 0.25 peratus adalah lebih tinggi berbanding caj bagi penggunaan kad debit tempatan atau antarabangsa.

“Caj bagi kad debit ialah 0.10 peratus daripada jumlah, atau RM0.37 + 0.001 peratus nilai transaksi (yang mana lebih rendah).

“Bayaran kad debit antarabangsa pula, ialah sebanyak 0.27 peratus jumlah transaksi atau RM0.63 peratus + 0.001 peratus jumlah transaksi (yang mana lebih rendah,” tambahnya lagi.

“Sekiranya semua ini benar dan berlaku, kerajaan perlu memberitahu kita sama ada mereka bersedia menghadapi kesan terhadap rakyat Malaysia?

“Adakah ia akan menyerap kos untuk PKS dan perniagaan kecil atau pada masa ini, dan menghapuskan pelarasan yuran pertukaran di bawah BNM (Bank Negara Malaysia)?” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment