PERBANDINGAN mula dibuat antara ucapan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad lima tahun lalu, dengan ramai yang menunjuk kepada jumlah penonton bagi menunjukkan tahap minat masyarakat antarabangsa.
Beberapa klip video dan gambar mula tersebar sejak malam tadi, menunjukkan dewan hampir kosong ketika Anwar berucap di PBB buat kali pertama sejak memegang jawatan tertinggi negara tahun lepas.
Dalam satu video, Mahathir dilihat berucap di tempat yang sama dengan penonton yang lebih ramai terdiri daripada diplomat dan wakil asing.
“Kali terakhir Tun M berucap di Perhimpunan Agung PBB, dewan ini penuh,” tulis Condor Hero di Twitter, merujuk kepada ucapan Mahathir pada September 2018.
“PMX berucap hanya 15 minit, dewan hampir kosong! Tiada siapa yang berminat dengan apa itu Madani!”
Anwar dalam ucapannya menyentuh slogan Malaysia Madani.
“Awal tahun ini, saya memperkenalkan Malaysia Madani, visi yang dibina di atas tonggak nilai teras yang kami percaya amat diperlukan dalam mana-mana masyarakat yang harmoni, berkembang maju dan aman: belas kasihan, hormat-menghormati, amanah, inovasi, kemakmuran dan kemampanan,” katanya.
Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2018, antara gambar yang dikongsi di media sosial ketika pelayar internet membandingkan saiz penonton sewaktu bekas perdana menteri itu berucap dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Semakan semasa siaran langsung ucapan Anwar selama 15 minit menunjukkan dewan yang sebahagian besarnya kosong dengan hanya beberapa perwakilan termasuk sekumpulan menteri dari Malaysia yang mengiringi perdana menteri untuk lawatan itu.
Seorang pengulas mengimbas kembali bagaimana penyokong Pakatan Harapan (PH) pernah menyindir pemimpin terdahulu kerana bercakap di kerusi kosong sewaktu berucap di PBB, dianggap sebagai tumpuan antarabangsa bagi mana-mana perdana menteri.
“Saya masih ingat penyokong PH pernah mengutuk, memburuk-burukkan dan membuat jenaka tentang ucapan-ucapan PM yang lalu di UNGA (Perhimpunan Agung PBB) – daripada bahasa yang digunakan sehinggalah kehadiran. Sekarang? Rasakan pulak.”
Mahathir beberapa kali berucap di PBB, di mana beliau adalah antara beberapa pemimpin dunia Islam pada masa itu yang lantang terhadap kuasa besar serta mengkritik badan dunia itu kerana kuasa veto.
“Demokrat yang hebat bercakap tanpa henti tentang kedaulatan undang-undang. Tetapi mereka selektif. Rakan mereka boleh melanggar mana-mana undang-undang dan melarikan diri tanpa sebarang masalah. Oleh itu, Israel boleh melanggar semua undang-undang dan norma antarabangsa dunia dan ia akan terus disokong dan dipertahankan,” kata Mahathir dalam ucapan terakhir PBB pada 2019.
Sementara itu, ucapan Anwar malam tadi mencetuskan perdebatan mengenai penampilannya, ramai daripada mereka merujuk kepada kerusi kosong manakala yang lain berkata mereka tidak terkejut dengan satu lagi ucapan “membosankan”.
Ramai penyokong kerajaan termasuk tentera siber PH, bagaimanapun mempertahankannya: “Tiada PM Malaysia sebelum ini yang mempunyai prestasi lebih baik daripada Anwar di pentas antarabangsa. Ini agak mengagumkan,” kata Peter Goh di Twitter.
Bagaimanapun tulisan Goh itu hanya bertahan sementara sebelum dibidas pengguna media sosial bernama Shaik Imran yang menulis: “Penjilat. Ucapan Tun M selama ini adalah lebih baik”.
Seorang pemimpin PKR memberi pujian terhadap ucapan Anwar: “Malaysia kembali mengaum di pentas dunia! Bangga,” kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, tetapi dengan cepat diingatkan tentang kemarahan orang ramai di tanah air atas pembelaan Anwar terhadap keputusan menghentikan perbicaraan rasuah timbalannya Ahmad Zahid Hamidi.
“Riuh ketika Zahid (diberi) DNAA jauh lebih kuat daripada ini,” kata Mohd Muhaimin.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, yang juga mengiringi dalam delegasi PM ke New York, berkata beliau “cukup bangga dan gembira” ketika mendengarnya.
“Ia juga tentang melihat daya tahan dalam seorang pemimpin yang telah membimbing kami dalam perjalanan 25 tahun untuk pembaharuan, seorang pemimpin yang mengajar kami untuk memperoleh kekuatan dan keberanian daripada nilai dan keyakinan kami,” tulisnya di Twitter.
“Kita mempunyai ramai PM yang menyampaikan ucaptama pada masa lalu. Tidak ada yang hebat atau gembira mengenainya,” kata Indrren sebagai jawapan, manakala seorang lagi mengingatkan Zaliha tentang masalah yang berkaitan dengan kementeriannya.
“Apa yang kerajaan kamu lakukan mengenai penghijrahan doktor pakar dari KKM kerana persekitaran kerja yang teruk, waktu bekerja yang panjang, dan gaji yang rendah?” soal ReinRazak.