BTS Media

Banjir Libya: Lebih 20,000 maut, rayuan untuk beg mayat di tengah kebimbangan ‘wabak’ penyakit

GAMBAR: Anadolu.

Oleh Zainal AS Rashid

PASUKAN penyelamat di bandar Derna, Libya yang musnah dilanda banjir dahsyat merayu untuk mendapatkan lebih banyak beg mayat, untuk berpuluh ribu mangsa.

Bantuan antarabangsa sudah mula tiba ke bandar pelabuhan itu selepas Ribut Daniel melanda pantai utara Libya pada malam Sabtu. Sekurang-kurangnya 20,000 orang maut, lapor The Guardian.

“Kami sebenarnya memerlukan pasukan khusus untuk mengesan memulihkan mayat,” kata Datuk Bandar Derna, Abdulmenam al-Ghaithi.

“Saya bimbang bandar itu akan dilanda wabak kerana banyak mayat masih berada di bawah runtuhan dan di dalam air.”

Terdahulu, Hichem Abu Chkiouat, menteri penerbangan awam pentadbiran Libya timur, berkata berpuluh-puluh mayat turut terdampar di pantai setelah ditolak oleh air laut.

Pasukan peronda maritim bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari mayat, yang kemudian dibasuh dan dihantar ke bandar Tobruk untuk pengecaman.

“Mayat ada di mana-mana, di dalam rumah, di jalanan, di laut. Ke mana sahaja kita pergi, kita akan menemui lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang mati,” kata Emad al-Falah, seorang pekerja bantuan dari Benghazi, kepada Associated Press melalui telefon dari Derna.

“Seluruh keluarga hilang.”

Usaha untuk mengebumikan mayat untuk mengelakkan tercetus penyakit amat mendesak, dan setakat ini ratusan mayat telah dikebumikan dalam satu kubur.

Penduduk Derna merayu supaya disediakan hospital lapangan baharu kerana dua hospital sedia ada di bandar itu digunakan sebagai rumah mayat sementara.

Pasukan penyelamat telah tiba dari Mesir, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu, Turki, dan Qatar, kata Datuk bandar al-Ghaithi.

Turki juga menghantar sebuah kapal membawa peralatan untuk menyediakan dua hospital lapangan bersama 148 petugas perubatan bagi operasi menyelamat.

United Kingdom semalam mengumumkan pakej bantuan awal sebanyak £1 juta (kira-kira RM6 juta).

Kerajaan perpaduan Libya yang diiktiraf PBB dan berpangkalan di Tripoli semalam berkata 12 negara telah menghantar pasukan bantuan dan penyelamat ke Libya.

Laman Facebook kerajaan berkata bantuan termasuk pasukan mencari dan menyelamat, anjing pengesan, hospital lapangan, petugas perubatan, peranti penderia haba, pasukan menyelam, alat penyedut air, bekalan makanan, bahan perlindungan, serta kapal dan pesawat untuk membantu proses pemulihan.

Mangsa banjir termasuk berpuluh-puluh pendatang Mesir yang mayat mereka tiba pada hari Rabu di Beni Suef, kira-kira 110km ke selatan Kaherah, lapor media Mesir.

Terdapat juga kebimbangan bahawa Derna dan bandar Sousse mungkin menyaksikan lebih ramai mangsa yang berkumpul untuk mendapatkan peluang menyeberangi Laut Mediterranean ke Greece atau Itali.

-BTS Media

Leave a Comment