BTS Media

Puad Zarkashi minta ahli UMNO supaya jangan panik

Oleh Zainal AS Rashid

UMNO dinasihatkan supaya jangan panik, hingga mahu keluar dan meninggalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Gesaan itu dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Puad Zarkashi.

Melalui post terbaharu dalam Facebook beliau berkata, ahli UMNO sebaliknya perlu memberikan tumpuan kepada rakyat dan negara kerana jalan yang dilalui oleh parti itu masih berliku di hadapan.

Menurut Puad, UMNO sekali lagi menghadapi ujian getir kerana hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang dipertandingkan.

Beliau berkata, UMNO semakin hilang sokongan orang Melayu.

“Bukan mudah untuk UMNO mencari formula baharu, tetapi UMNO tidak perlu panik sehingga mahu meninggalkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Dalam keadaan sekarang di mana sebahagian besar orang Melayu langsung menolak UMNO, Puad menggesa supaya parti tersebut menumpukan perhatian kepada agenda ekonomi rakyat dan ekonomi negara.

Beliau juga berkata mereka yang kalah, berusia 45 tahun atau lebih tidak sepatutnya bertanding dalam pilihan raya akan datang.

“Kedudukan dalam parti bukan tiket percuma untuk menjadi calon,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata menteri UMNO mesti menunaikan tanggungjawab dan mengelak terbawa-bawa dengan kelakuan UMNO.

Beliau berkata, UMNO memerlukan naratif baharu yang mampu menyentuh pengundi.

-BTS Media

Leave a Comment