GAMBAR: Malay Mail.
Oleh Zainal AS Rashid
PENGERUSI DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow menggesa Dr P. Ramasamy mempertimbangkan semula keputusannya untuk meletakkan jawatan daripada parti itu.
Ketua menteri sementara itu berkata sebelum ini beliau pernah memujuk Ramasamy.
“Ramasamy memberitahu saya bahawa walaupun dia boleh menerima keputusan digugurkan sebagai calon, dia tidak berpuas hati dengan cara proses itu dikendalikan.
“Ini menyebabkan dia meninggalkan parti, walaupun saya telah memujuknya.”
Ramasamy yang merupakan bekas ADUN Prai tiga penggal, mengumumkan awal hari ini bahawa beliau telah meletak jawatan daripada DAP.
Beliau mengumumkan keputusannya itu pada sidang media di bekas pusat khidmatnya di Tasek Gelugor.
Ramasamy juga mendedahkan bahawa Chow mungkin dinamakan semula sebagai ketua menteri, tetapi beliau tidak mempunyai sokongan dalam barisan DAP negeri, lapor NST.
Beliau berkata terdapat kemungkinan bahawa Chow tidak akan lama memegang jawatan itu walaupun ada jaminan daripada pemimpin nasional.
Beliau juga berkata barisan ahli jawatankuasa eksekutif negeri telah diputuskan oleh pemimpin pusat.
Chow juga ditanya sama ada pengundi India akan beralih daripada menyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berikutan keluarnya Ramasamy daripada parti itu.
“Ramasamy telah berkhidmat selama tiga penggal dan pastinya dia mempunyai penyokong. Sama ada akan ada undi protes, ia bergantung kepada pengundi,” katanya sambil mengakui mungkin perkara itu memberikan kesan.
-BTS Media