KAPAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan perpaduan sebenarnya ditadbir “bukan Melayu” susulan tiada rayuan di mahkamah berhubung isu kalimah Allah.
Muhyiddin berkata, ketika menggalas tugas sebagai menteri dalam negeri, beliau mendakwa menerima tekanan daripada DAP untuk tidak mengemukakan rayuan.
“Semasa saya menjadi menteri dalam negeri di bawah kerajaan PH, saya menggesa mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hak wanita Sarawak menggunakan kalimah Allah.
“Di sebalik Anwar ada anggota parti DAP, saya tahu kerana sebelum ini kita didesak tidak akan rayu,” katanya dalam ceramah jelajah Perikatan Nasional di Kapar.
Pada 23 Mei lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tindakan kerajaan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah bertujuan untuk mengelak percanggahan dengan ketetapan Majlis Raja-Raja.
Beliau berkata, pihaknya merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka telah beri pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu kalimah Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung dan kelonggaran untuk Sabah serta Sarawak.
Beliau menambah, penarikan rayuan tersebut memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah baik ketetapan kalimah itu selaras pandangan dan nasihat peguam negara.
Sementara itu, Muhyiddin turut memaklumkan PN akan mengumumkan manifesto pilihan raya negeri dalam beberapa hari lagi.
Beliau berkata, manifesto PN akan menawarkan pelbagai bantuan untuk rakyat terutama berhubung kos sara hidup termasuk isu lonjakan harga barang, dan inflasi.