BTS Media

Pelawak Jocelyn Chia sokong kebiadaban Matty Healy dan The 1975

Oleh Fetty Rara

SEORANG lagi ‘artis’ biadab kini tampil untuk memberikan sokongan kepada Matty Healy yang menghina Malaysia dan undang-undang negara.

Dalam beberapa post media sosial, pelawak berkontroversi yang sebelum ini pernah dikecam kerana mempersendakan tragedi pesawat MH370, mempersoalkan mengapa Healy tidak ditangkap terus atau dijejaki oleh Interpol.

Dia berkata, “Selamat datang Matty Healy ke kumpulan artis yang “dibatalkan” oleh Malaysia.

“Eh, tapi tunggu dulu…Di manakah gesaan untuk menangkapnya; dan minta Interpol untuk mengesannya kerana benar-benar melanggar undang-undang semasa dia berada DI Malaysia? Adakah Malaysia sudah lembut (tidak ada taring?)

Jocelyn seterusnya berkata, “Apakah kerana dia orang putih!?! Tak macam saya dulu… Takkanlah Malaysia amal dwi-standard, kan?”

Baru-baru ini, kumpulan The 1975 telah menghentikan persembahan mereka di Good Vibes Festival (GVF) 2023 selepas Healy menghina undang-undang anti-LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) Malaysia sebelum mencium anggota lelaki pemain bass di atas pentas.

Susulan insiden itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan pesta itu dibatalkan serta-merta.

Polis telah menerima tiga laporan setakat ini mengenai kebiadaban oleh kumpulan tersebut.

Jocelyn yang mendakwa tidak sedikit pun terkesan dengan kecaman Malaysia terhadapnya tempoh hari lalu mengejek Malaysia kerana “menawarkan formula untuk menaikkan nama artis-artis berkenaan.”

Awal tahun ini, Jocelyn yang kini menetap di Amerika Syarikat pernah berkata semasa di pentas bahawa Malaysia sebagai sebuah negara membangun amat jauh ketinggalan dan pernah “disisih” oleh Singapura.

Dia juga mempersendakan kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014, lalu mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia, pelawak tempatan serta waris penumpang di dalam pesawat itu.

Pada 13 Jun lalu, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata permohonan akan dibuat kepada Interpol untuk mendapatkan kerjasama agensi itu bagi mengesan Jocelyn.

Dalam temu bual dengan BBC pada hari berikutnya, dia menyifatkan tindakan pihak berkuasa untuk melibatkan Interpol sebagai “keterlaluan” dan “mengarut”.

Dia juga membayangkan bahawa penglibatan Interpol hanya akan membuatkan dia lebih popular.

-BTS Media

Leave a Comment