Oleh Yusoff A. Shariff
SEKURANG-KURANGNYA 11 buruh maut dan lima lagi cedera hari ini apabila sebuah tembok runtuh ketika hujan monsun lebat di pinggir ibu kota Pakistan.
Setiap tahun hujan lebat semasa musim tengkujuh, sering kali menyebabkan kemusnahan di kawasan-kawasan luar bandar hingga menjejaskan hasil pertanian dan bekalan air.
Dalam kejadian terbaharu di Islamabad itu kesemua mangsa dihempap runtuhan tembok sewaktu mereka tidur di dalam khemah berhampiran sebuah jambatan yang sedang dibina, lapor media tempatan.
Menurut seorang jurucakap kerajaan, setakat ini mayat 11 buruh telah ditemukan, manakala lima lagi yang mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital.
“Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.20 pagi selepas hujan lebat,” tambahnya.
Tahun lalu, Pakistan dilanda hujan monsun dahsyat pada musim panas hingga menyebabkan satu pertiga daripada negara tersebut dilanda banjir yang mengakibatkan kemusnahan kira-kira dua juta rumah dan lebih 1,700 kematian.
Sekurang-kurangnya 60 orang dilaporkan maut dalam beberapa kejadian berkaitan cuaca di seluruh Pakistan sejak akhir bulan Jun.
-BTS Media