BTS Media

Presiden Indonesia namakan menteri komunikasi baharu selepas skandal rasuah

GAMBAR: Kompas.

 

Oleh Fetty Rara

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan rombakan kecil kabinet enam jawatan hari ini, termasuk seorang menteri komunikasi baharu yang pendahulunya dibicarakan atas tuduhan menerima rasuah sejumlah AS$1.14 juta (RM5.16 juta).

Timbalan Menteri Desa Pembangunan Daerah Tertinggal, dan Transmigrasi Budi Arie menggantikan Johnny G. Plate, yang ditahan pada bulan Mei kerana menerima rasuah daripada syarikat yang dikaitkan dengan program membina menara telekomunikasi dan Internet ke ribuan kampung, lapor Kompas.

Johnny, yang menafikan salah laku, berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah menerima rasuah dalam projek yang menyaksikan kerugian negara dianggarkan 8 trilion rupiah (RM2.5 bilion).

Beliau adalah menteri kelima sejak dua penggal pentadbiran Jokowi didakwa atas tuduhan rasuah.

Selain itu, Jokowi hari ini turut mengumumkan timbalan menteri baharu bagi hal ehwal luar negeri, hal ehwal desa, hal ehwal agama, komunikasi dan perusahaan milik negara.

Beliau juga melantik dua ahli baharu ke lembaga penasihat khasnya.

Jokowi memberitahu wartawan selepas majlis angkat sumpah mereka di Jakarta bahawa Budi akan ditugaskan untuk meneliti kecerdasan buatan (AI) dan perlindungan data, sambil menambah kes rasuah akan diselesaikan dan pembinaan projek menara telekomunikasi mesti diutamakan.

-BTS Media

Leave a Comment